Tidak dinafikan malah sememangnya diakui penggunaan umpan hidup lebih berkesan berbanding penggunaan umpan tiruan kerana ia adalah makanan ikan atau umpan betul untuk menjerat spesies predator seperti sebarau, baung besar, belida (anak ikan, udang), tenggiri (ikan kembung, tamban) toman (keli, lampam).
Namun, harus diingat penggunaan umpan hidup ada batasnya seperti umpan hidup sukar diperolehi, sukar dibawa ke mana-mana dan mudah mati. Berapa lama anda mampu mengusung dan menjaga umpan hidup sekiranya anda seorang kaki casting tegar yang memancing seharian.
Penggunaan gewang adalah revolusi oleh penciptanya yang memikirkan umpan tipu perlu dicipta kerana kaki pancing tidak boleh terus bergantung pada umpan hidup. Mereka telah mengkaji dari segi bentuk, fleksibel renangan, bentuk dan sebagainya sehingga lahirnya pelbagai jenis bentuk, warna, jenama gewang ada di pasaran.
Secara amnya, penggunaan gewang lebih praktikal kerana ia memberi lebih kebebasan kerana tidak perlu membeli umpan hidup, segar, tidak perlu buang masa, cangkuk umpan hidup baru terutama semasa ikan sedang frenzy, tidak berbau, mengotorkan tangan anda, tidak perlu menyediakan bekas besar untuk simpan umpan hidup, boleh dibawa ke mana-mana sahaja serta memberikan lebih liputan kawasan ketika memancing berbanding umpan hidup yang perlu dikarau perlahan.
Walau bagaimana pun tidak sewajar pemancing terlalu taksub terhadap gewang sehingga ada gewang yang dianggap sebagai gewang keramat. Hakikatnya pihak yang untung disebalik sifat mengagung-agungkan gewang ini lebih menguntung syarikat pembekal gewang, bukannya pemancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Joran atau rod pancing merupakan salah satu daripada alatan terpenting yang digunakan untuk memancing. Oleh yang demikian ia memerlukan penjagaan yang teliti bagi memanjangkan usianya. Joran bukan sekadar perlu dijaga ketika sedang digunakan malah turut penting ketika proses logistik atau penyimpanan.
Tip #1
Selepas memancing di laut atau air masin, bilas cincin-cincin joran dengan air paip secukupnya sebelum disimpan bagi mengelakkan cincin berkarat akibat pembentukkan garam.
Tip #2
Sebaiknya elakkan dari mengepam atau menaikkan joran melebihi 90 darjah ketika bertarung dengan ikan bagi memelihara backbone atau tulang belakang joran.
Tip #3
Sapukan baby oil pada blank (batang joran) dan cincin bagi memanjangkan usianya khususya jika sering memancing ketika panas.
Tip #4
Elakkan dari menegakkan joran secara tegak (90 darjah) ketika meletakkannya pada pancang atau rod holder kerana sentapan kasar ikan boleh menyebabkan tip (hujung joran) patah.
Tip #5
Berikan perhatian apabila membawa joran terutama joran 1 piece kerana sering berlaku tip joran patah kerana kemalangan di dalam kereta.
Tip #6
Sebelum membuat balingan, sentiasa perhatikan belakang anda tip joran cukup mudah patah sekiranya mata kail atau umpan yang akan dilontar tersangkut pada sesuatu objek.
Tip #7
Pastikan juga berat umpan yang anda gunakan sepadan dengan skala kemampuan joran anda untuk menampungnya.
Tip #8
Jangan sesekali menarik tali pancing yang tersangkut di dalam air dengan menggunakan joran kerana dengan mudah joran akan patah.
Tip #9
Seboleh-bolehnya gunakan sauk atau gancu untuk mendaratkan ikan walaupun ikan tidaklah sebesar mana.
Tip #10
Jangan terlalu mudah bagi pinjam pada kawan… terutamanya kawan yang baru belajar memancing tanpa pengawasan.
Memancing ikan lampam merupakan salah acara wajib apabila berkunjung ke Tasik Kenyir dengan menggunakan perkhidmatan rumah bot atau boathouse.
Lazimnya, pengusaha atau pemilik rumah bot akan menyediakan peralatan asas dan umpan untuk para pelanggan memancing lampam.
Cara memancingnya pula akan ditunjuk ajar oleh kru rumah bot.
Pemilik atau kru rumah bot merupakan orang yang cukup berpengalaman dalam soal memancing lampam. Begitu jugalah dalam soal menyediakan umpan untuk lampam.
Umpan kerak nasi lemak yang dikongsikan di sini juga merupakan salah satu umpan yang didedahkan oleh kru rumah bot Tasik Kenyir.
Kenapa nasi lemak?
Ikan lampam dipercayai menyukai sesuatu yang berlemak. Oleh kerana itulah buah sawit yang berlemak dan berminyak merupakan umpan yang disukai oleh lampam.
Begitu jugalah nasi lemak yang kaya dengan santan yang lemak manis.
Bahan keperluan:
Kerak nasi lemak
Mata kail rambai
Set pancing lampam
Cara Penyediaan Umpan:
Kerak dan nasi lemak yang sudah keras direndam terlebih dahulu di dalam air. Memadai direndam sekadar melembutkannya sahaja. Sekiranya terlalu dan kembang berderai ia sudah tidak boleh digunakan lagi.
Ambil kira-kira segenggam keras nasi lemak yang masih melekat dan cucukkan mata kail rambai. Kemudian turunkan umpan tersebut ke dasar lubuk yang mana ikan-ikan lampam banyak berlegar-legar di permukaan air.
Antara keistimewaan belangkas sudah tentu terletak pada telurnya. Selain dijadikan juadah masakan, telur belangkas juga merupakan umpan yang mujarab untuk memancing spesies bermisai seperti sembilang, duri atau belukang.
Di sini, kami memperlihatkan tatacara mengambil telur belangkas dari cengkerang dan cara-cara memasangnya pada mata kail.
LANGKAH 1
Proses mengambil telur belangkas perlu dilakukan secara cermat dan berhati-hati. Lendir atau urat dari telur ni kena ambil sekali.
Jangan ambik telur je. Manti susah nak cangkuk kat mata kail.
LANGKAH 2
Inilah rupa telur belangkas beserta urat dan lendir yang telah berjaya dikeluarkan dari cengkerangnya.
LANGKAH 3
Ambil urat dan lendir yang disaluti telur tu dan cangkuk pada mata kail seperti biasa.
Cangkuk macam kita guna umpan hirisan ikan atau sotong.
LANGKAH 4
Cangkuk sampai umpan menutupi mata kail tetapi pastikan point mata kail itu tercucuk keluar dari umpan supaya mudah tercangkuk pada mulut ikan.
LANGKAH 5
Inilah rupa yang dah siap. Tapi kalau nak elak umpan ni tercabut semasa proses melontar, korang disarankan ikat umpan ni dengan benang elastik atau tali benang biasa.
Jadi, kalau terbaling kuat tu taklah bersepai umpan korang.