Soal Jawab Memancing – Kenapa Tali Pancing Ada Macam-Macam Warna??

Share

 

Bagi saya warna tali utama tidak begitu mendatangkan kesan pada tangkapan. Apa yang lebih penting untuk ikan adalah persembahan umpan (umpan biasa atau tiruan) yang boleh menarik minatnya untuk diterkam.

 

Namun yang perlu dititik beratkan ialah warna perambut biarlah sesuai dengan warna air atau persekitaran dan mudah memperdayakan ikan. Jangan terlalu terang atau jelas di dalam air kerana sesetengah ikan begitu peka pada persekitaran dan ada juga yang fobia dengan tangsi (mungkin profilnya seperti tangsi pukat).

 

Memancing di muara yang airnya tidak dalam saya syorkan menggunakan tangsi berbanding tali sulam. Ini akan menambah keseronokan dan kepuasan ketika membalas sentapan. Tangsi akan menghasilkan sedikit anjakan dan suntikan balas yang menyeronokkan.

 

Jika air keruh lebih elok guna tali warna gelap kerana tali warna cerah akan pudar disebabkan pengaruh air. Tali sulam jika kehabisan salutan lilin akan menyebabkan air dapat meresap dan air yang keruh boleh menukar warna tali menjadi kotor.

 

Untuk tali utama apa-apa warna tidak begitu mendatangkan masalah asalkan sesuai dengan warna persekitaran. Jika masih berminat mengunakan tali sulam untuk memancing muara, gunakan perambut tangsi yang panjang.

Published by
Amang