Boleh tak admin buat senarai persediaan perlu untuk memancing di laut iaitu umpan, kekili, joran, saiz tali, ladung, perambut serta teknik dan waktu terbaik?
JAWAPAN:
Umpan
Ads
Jenis terbaik ialah bekalan ikan segar atau hidup yang diperoleh atau dipancing ketika perjalanan ke destinasi, membelinya di pasar atau di jeti. Umpan jenis ini adalah prasyarat utama kejayaan misi memancing kerana kesegaran dan keberkesanannya. Jenis umpan seperti ikan pelaling, ikan tongkol dan sotong pasar mencukupi untuk setiap trip.
Kekili
Lumrah kalau memancing laut dalam bukan saja pancing dasar menjadi tapi teknik hanyut, jigging, popping dan tundaan. Jadi, tiga set kekili adalah minimum dan kalau mampu bawa peralatan gantian untuk menghadapi sebarang kerosakan.
Ads
Joran
Untuk pancing dasar dan pancing tundaan sesuai kalau kita membawa panjang 2meter hingga 2.5 meter) dengan aksi berat 30/80 paun, 50/80 paun atau PE4-PE8. Jika meminati jigging, guna joran kekuatan PE3-PE5 panjang 2meter sangat sesuai untuk ikan seperti cupak, tenggiri dan gerepoh bawah 15kg. Kalau GT bersaiz XXXL elok gunakan joran berkekuatan sehingga PE8 dengan panjang yang sama atau 2 meter. Bagi popping, joran 2.5meter sangat efektif untuk lontaran jauh. Sedia satu joran selingan berkekuatan PE1 hingga PE3 untuk memancing apollo, anak ikan atau untuk digunakan sebagai pancing candat (bagi mendapatkan umpan sotong hidup).
Ads
Saiz tali
Ini ada hubungan dengan kapasiti atau had muatan kekili berserta kekuatan maksimum drag yang terbina di dalamnya. Lumrahnya tali utama untuk pancing dasar dan menunda ialah 80lb hingga 100lb untuk tali utama kalau menggunakan tali sulam atau 50lb hingga 80lb jika menggunakan tali tangsi. Bagi kekili yang digunakan aktiviti jigging dan popping pula perlu dipadankan dengan tali sulam 60lb hingga 80lb dan disambung dengan tangsi kekuatan 80lb hingga 100lb sepanjang tiga meter sebagai perambut serap kejutan (shock leader).
Batu ladung
Penggunaan batu ladung kalau dibandingkan antara Pantai Barat dan Pantai Timur sedikit berbeza. Kalau di Pantai Barat had maksimum saiz 32 (1.5kg) di Pantai Timur pula had maksimum saiz 24 (1kg). Ini berdasarkan arus di pantai barat lebih deras berbanding pantai timur kerana laluan yang sempit. Di Sabah dan Sarawak, arus laut lebih kurang seperti Pantai Timur Semenanjung kerana berada di kawasan yang sama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya baru nak belajar memancing di tepi pantai atau surfcasting. Oleh yang demikian saya ingin tahu apakah setting yang sesuai dari saiz joran, mata kail, ladung, tali utama dan jenis umpan? Dan jika memancing di tepi tasik air tawar, adakah tekniknya sama dengan surfcasting?
JAWAPAN:
Untuk pancingan pantai atau surfcasting, kombinasi peralatan yang sesuai digunakan ialah joran minimum 12 kaki, kekili mendatar sekurang-kurangnya saiz siri 4000 (lebih baik jika kekili gelendung panjang atau surf cast reel, tali utama dari jenis sulam atau braided 20-40lb, batu ladung jenis gantung atau batu mati lonjong (saiz bergantung kepada kelajuan arus).
Perambut 30-50lb (bergantung kepada struktur dasar lokasi dan ikan sasaran) dan dipadankan dengan mata kail nombor 8 hingga nombor 2, atau 1/0 hingga 3/0 bergantung juga pada spesies sasaran. Umpan yang sesuai bagi newbie pula terdiri dari jenis umpan yang tidak mudah tertanggal dari mata kail ketika melakukan lontaran. Disarankan anda mencuba umpan seperti umpun-umpun, hirisan sotong atau hirisan ikan belanak.
Sebaiknya anda perkemaskan teknik lontaran terlebih dahulu sebelum memasang impian untuk menerima strike. Tetapkan satu jarak sasaran yang perlu dicapai dan lakukan berulang kali. Dalam pada masa yang sama turut memantau keadaan umpan selepas melakukan lontaran.
Kombinasi peralatan surfcasting ini juga boleh diaplikasikan di tasik air tawar. Terutamanya peralatan utama seperti joran, kekili dan tali utama. Namun teknik perambut, batu ladung, mata kail dan umpan perlu disepadankan dengan konsep pancingan ikan air tawar.
Soalan yang kedengaran mudah tetapi sulit untuk dihurai jawapannya. Memandangkan admin bukanlah pemburu siakap tegar, yang sentiasa memantau pergerakan siakap tanpa mengira musim, sudah tentu admin tidak dapat menyatakan di mana siakap menyorok pada musim tengkujuh.
Namun untuk tidak menghampakan, admin jelaslah serba sedikit berkaitan dengan habitat dan tabiatnya. Dalam keadaan semulajadi ikan siakap lazimnya akan mendiami sungai dan air laut.
Diet utamanya adalah anak-anak ikan (termasuk anaknya sendiri) dan juga udang, serangga kecil seperti cengkerik dan cacing. Kajian juga mendapati bahawa ikan siakap muda akan makan zooplankton (hidupan planton halus dalam air).
Ikan ini merupakan jenis katadromous yang tinggal di sungai dan menyusur sungai dan ke kuala dan lembah takungan banjir bagi proses bertelur. Selalunya pada permulaan musim hujan ikan jantan menyusur ke hilir bagi bertemu ikan betina dan seterusnya akan bertelur dengan banyaknya (berjuta setiap ekor).
Ikan dewasa lazimnya tidak menjaga telur atau anaknya yang memerlukan air payau untuk terus hidup dan membesar. Ikan ini adalah jenis dikatakan ‘hermaphroditik turutan’ di mana kebanyakan ikan matang sebagai jantan dan menjadi betina selepas sekurang-kurangnya satu musim mengawan dengan itu kebanyakan ikan siakap besar adalah betina.
Oleh yang demikian, untuk memburu ikan siakap pada musim tengkujuh, mungkin anda perlu menyusur lebih jauh ke kawasan air payau yang menjadi lokasi ia bertelur.
Saya bukanlah kaki kolam tapi bila ada masa saya turun la memancing ke kolam berbayar air tawar. Masalahnya, orang lain pancing asyik tarik ikan terutamanya rohu, tetapi saya asyik membangau. Padahal saya pun guna umpan dedak dan roti sama seperti mereka. Apakah saya sudah terkena badi kumpau?
JAWAPAN:
Berbanding pancingan sungai atau laut, pancingan di kolam berbayar sebenarnya paling mencabar. Malah memancing ikan air tawar terutamanya ikan patin dan spesies lain seperti tongsan atau rohu sememangnya sangat teknikal dan berseni.
Perkara asas nombor satu yang perlu dilakukan jika ingin memancing di kolam berbayar ialah bertanya. Jangan segan atau malu untuk bertanya sama ada kepada pemancing lain atau pemilik kolam sendiri. Tanyalah umpan apa yang harus digunakan.
Harus diingat, dedak atau roti hanyalah bersifat makanan ikan. Ia umpama nasi. Tentu saja kita tidak mahu makan nasi kosong saja. Tanpa lauk, nasi tidak bermakna apa-apa walaupun ia tetap akan mengenyangkan perut. Begitu juga dengan ikan, perlu ada bahan perisa ditambahkan pada umpan roti atau dedak bagi menarik deria bau ikan tersebut.
Lazimnya pemancing lain tidak akan mendedahkan seratus umpan (perisa) yang mereka gunakan. Ia bergantung kepada kebijaksanaan anda untuk memperoleh rahsianya. Namun pada kebiasaannya perisa pandan dan strawberi merupakan bahan asas yang banyak digunakan oleh pemancing bagi menyediakan umpan.
Selain umpan, teknik yang digunakan juga perlu diperhatikan. Lazimnya mana-mana pemancing kolam tidak akan berahsia soal teknik. Apatah lagi korang boleh lihat sendiri teknik yang digunakan. Jika pemancing lain mengamalkan teknik apung, maka kita gunalah teknik apung. Kalau teknik dasar lebih berkesan, maka kita gunalah teknik dasar. Selebihnya, bergantung kepada nasib dan rezeki.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...