Soal Jawab Memancing – Kaedah Terbaik Untuk CnR Ikan Pari??

Share

 

Cara paling baik dan selamat untuk mengendali atau mendaratkan ikan pari ialah dengan menggunakan tangguk atau sauk. Jangan pula menggunakan pencangkuk kerana ia jelas akan mencederakan fizikal pari tersebut.

 

Namun penggunaan tangguk akan berisiko pula kepada anda. Apatah lagi jika tangguk yang dibawa kecil sementara saiz pari pula besar. Pasti sukar untuk memasukkan pari tersebut ke dalam tangguk. Oleh yang demikian, berhati-hatilah jangan sampai ada anggota badan anda tertusuk dek sengat pari.

 

Jika tiada tangguk dan anda memancing di pantai, anda boleh mengheret pari tersebut ke pantai dengan memegang bahagian ekornya. Pastikan pari tersebut betul-betul berada di atas darat atau gigi air. Kemudian terbalikkan pari tersebut, keluarkan mata kail yang tercangkuk pada mulutnya dan bolehlah bebaskannya dengan selamat.

 

Jika mata kail berada jauh di dalam tekaknya dan sukar untuk dikeluarkan, potong sahaja perambut di bahagian paling dekat dengan mulutnya. Kebanyakan mata kail boleh terurai dengan cepat di dalam air masin dan terdapat ujian yang menunjukkan bahawa ikan yang dilepaskan dengan cara ini menjamin kelangsungan hidup mereka.

 

Seperkara lagi jangan sesekali mematahkan duri sengatnya jika ingin dilepaskan kembali. Sengat itu merupakan senjatanya untuk memburu dan juga mempertahankan diri dari pemangsa. Perbuatan ini sering dilakukan oleh pemancing apabila mendaratkan pari meskipun tidak berhajat untuk membawanya pulang.

Published by
Amang