Memang banyak terdapat spesies muara yang bersengat seperti ikan depu, baji, dengkis, kitang, dengkis dan pelbagai jenis ikan yang jarang dijumpai mempunyai sengat sama ada yang jelas kelihatan atau tersembunyi di sebalik sirip dan badan.
Ikan semilang, duri, belukang atau jahan memiliki sengat keras terserlah di atas badan, sisi kiri dan kanan. Sengat pari dan ketuka pula terdapat di bahagian ekor sama ada di pangkal, tengah atau hujung ekor.
Ada juga spesies pari seperti pari kebas atau pari serban tidak memiliki sengat tetapi senjata utama ialah getaran arus elektrik dialirkan ke badan yang menyentuhnya. Terdapat juga pari memiliki hanya satu sengat keras dan ada yang mempunyai dua sengat keras di ekor. Ikan lain yang dikategorikan berbisa memiliki sengat atau duri kecil yang tajam di badan (depu dan baji) selain sengat antara sirip dorsal dan sirip pelvik.
Sengat yang berbisa ini tersembunyi merbahaya jika terkena tangan. Pari umpamanya perlu dikendalikan dengan betul. Pastikan sengat dibuang terlebih dulu jika ingin bergambar.
Bagi soalan kedua pula, kebanyakan ikan aktif ketika air pasang dan kawasan yang berarus. Kawasan yang tenang kurang didiami ikan pemangsa kerana sukar mendapat mangsa buruan. Di kawasan terdapat alun atau ombak (bukan jenis yang terlalu besar hingga puluhan kaki) selain anak ikan turut bermain ombak, kumpulan ikan pemangsa (predator) turut mengikuti dari belakang.