Saya ingin tahu tentang umpan memancing di laut. Setahu saya, ikan tamban dan selar cukup popular dijadikan umpan memancing jika memancing di kelong. Soalan saya ialah ada tak ikan lain yang boleh dijadikan umpan jika kita memancing di tengah laut?
JAWAPAN:
Ads
Ikan-ikan pelagik seperti tamban, selar, selayang memang sinonim sebagai umpan di kalangan kaki pancing. Ia diguna secara meluas sama ada pancingan di pesisir pantai atau di laut dalam. Namun beberapa spesies ikan kecil lain yang dipancing juga boleh dijadikan umpan yang mujarab.
Ads
Spesies ikan demersal (ikan dasar) yang dipancing boleh dibuat umpan ialah ikan gelama dan bebolos. Dua spesies ikan ini sangat sesuai dan popular untuk dijadikan umpan pari dan senangin bagi pancingan pesisir pantai.
Ads
Caranya, ikan ini boleh digunakan seekor ataupun boleh menggunakan hirisan isinya yang dicangkuk pada mata kail. Saya sendiri pernah menggunakan umpan hirisan ikan belanak dan ia amat efektif dan lambat habis sekiranya digetu ikan kecil, kerana isinya yang agak liat.
Selain itu ikan-ikan bersaiz besar seperti tongkol atau ikan parang juga boleh dijadikan umpan. Ia boleh digunakan secara seekor atau dijadikan hirisan. Apa yang penting kesemua ikan ini haruslah dalam keadaan segar jika ingin dijadikan umpan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Terdapat dua jenis tali yang digunakan oleh pemancing iaitu tali jenis mono (tangsi) dan braided (sulam). Tali-tali ini didatangkan dengan pelbagai warna.
Tali mono mempunyai kadar regangan yang tinggi dan mempunyai memori (bila digulung dalam spool, keluar dari spool pun tali ini mengikut bentuk spool tersebut). Tali jenis ini murah tetapi agak tidak tahan geseran serta mudah terputus jika sudah tergores. Saiznya besar dari tali braided yang berkekuatan sama, mudah dikesan oleh ikan dalam air dan ikan mudah takut.
Manakala tali braided pula adalah yang paling popular dan banyak digunakan oleh kaki pancing. Harganya agak mahal dan biasanya dijual dalam gulungan sepanjang 100m hingga 1000m. Saiznya juga adalah pelbagai bergantung kepada gaya, teknik pancingan.
Tali jenis ini menjadi pilihan ramai kerana ciri-cirinya yang agak kuat (hampir dua kali kekuatan tali mono), memori sifar, daya geseran sifar dan tahan geseran. Saiznya juga lebih halus dari tali mono yang berkekuatan sama.
Tali berwarna juga dibuat mengikut panjang tertentu dan berselang seli supaya memudahkan pemancing menentukan jarak tangsi setiap pelepasan dibuat. Jika ia adalah tali utama, ramai pemancing ingin warna yang terang dan mudah dilihat ketika memancing lebih-lebih lagi sebelah malam.
Sesetengah pemancing gemar warna yang cantik dipadankan dengan kekili berjenama serta joran berwarna garang. Ada juga yang gemar warna gelap atau jenis halimunan kerana percaya ia tidak mudah dilihat ikan.
Bagi ikan, ia tidak mendatangkan kesan besar. Yang penting bagi ikan ialah persembahan umpan yang boleh menimbulkan serta menarik minat untuk diterkam. Yang perlu dititikberatkan ialah warna perambut biar sesuai dengan warna air atau persekitaran dan mudah memperdayakan ikan.
Jangan menggunakan tali perambut yang terlalu terang dalam air kerana sesetengah ikan begitu peka dengan persekitaran dan ada juga fobia dengan tangsi (mungkin seperti pukat ikan).
Untuk tali utama, sebarang warna tidak begitu mendatangkan masalah asalkan sesuai dengan warna persekitaran. Jika anda masih berminat menggunakan tali braided untuk memancing muara, gunakan perambut tangsi yang panjang sedikit. Di sini saya sertakan sedikit tip untuk memilih tali yang anda akan gunakan.
Pilih saiz yang bersesuaian dengan saiz reel anda, boleh rujuk pada kotak reel.
Untuk membuat lontaran yang jauh selain dari joran yang panjang, tali yang halus juga akan turut membantu. Contoh, tali saiz 6lb adalah lebih jauh jarak lontaran berbanding dengan tali saiz 20lb.
Jangan takut menggunakan tali halus, contohnya tali braided 6lb kekuatannya adalah lebih kurang sama dengan tali tangsi 12lb.
Cari tali yang sesuai dengan citarasa anda dan bergantung dengan pancingan anda.
Ambil masa dalam membuat pilihan supaya anda tidak salah membeli. sekiranya anda tidak tahu tali mana yang terbaik, ringan-ringankan mulut untuk tanya rakan-rakan anda atau owner kedai tersebut.
Saya memohon tunjuk ajar secara ringkas dan mudah difahami untuk mengumpan ikan kelah. Umpan-umpan apa yang bagus dan bagaimana umpan-umpan nak dipersembahkan supaya menarik perhatian ikan kelah?
JAWAPAN:
Memancing kelah memang memang agak cerewet oleh kerana sifatnya yang amat sensitif. Namun segala usaha yang dilakukan terasa berbaloi apabila seekor ikan kelah berjaya didaratkan.
Secara ringkas, perkara pertama ialah kenal pasti lubuk berpotensi dan aktiviti memancing sebaiknya dilakukan dengan meminimumkan pergerakan atau bunyi. Adalah lebih baik jika secara bersendirian atau dalam kumpulan yang kecil.
Umpan sawit peram atau hirisan sate sawit adalah umpan yang sinonim dengan spesies ini. Caranya cangkukkan sebiji pada 2 atau 3 mata kail atau pun sawit potong dan cangkukkan pada mata. Guna tali mono sekitar 20lb sebagai tali utama dan perambut sekitar 15-30lb. Lebih digalakkan andai anda merasuah sawit peram di bahagian hulu lubuk dan biarkan dalam tempoh 4-6 jam atau lebih dari itu sebelum mula memancing di lubuk tersebut.
Sesetengah lokasi, ada pemancing yang menggunakan umpan lain seperti ubi kayu masam, buah epal yang dipotong dadu, hirisan isi ikan dan sebagainya. Malah ada juga yang menggunakan umpan katak dan juga ketam sungai yang dibakar terlebih dahulu. Anda sememangnya boleh mencuba!
Boleh tak admin buat sedikit huraian tentang pemilihan gewang untuk sebarau berdasarkan kesesuaiannya di kawasan air dalam, air cetek serta kepelbagaian lokasi padang pancing?
Asas utama menggewang ialah kita perlu mengenali spesies buruan. Sebarau yang diketahui mendiami sungai, empangan dan tasik boleh membesar sehingga 4 kilogram
(satu saiz yang jarang sebarau dapat mencapai tahap ini kerana masalah tangkapan berlebihan). Saiz yang lumrah diperdaya dengan gewang adalah 500gm hingga 1.5kg.
Untuk sebarau 200gm hingga 500gm, cuba gewang kecil 5cm atau dipanggil gewang mikro tanpa mengira jenama.
Set pancing aksi ringan paling sesuai digunakan. Perhatikan struktur tempat ikan bermain. Kalau air cetek, guna gewang selaman cetek atau permukaan manakala air dalam guna gewang selaman dalam seperti jenis minnor.
Warna gewang turut memainkan peranan terutama warna yang seakan ikan sasaran. Warna oren mendominasi pilihan pemancing kerana ia seakan warna anak toman/haruan.
Sebarau memang pantang melihat anak toman. Justeru, warna gewang oren, merah atau emas mudah dan cepat disambar mangsa.
Bagaimanapun warna kekuningan turut menarik minat sebarau asalkan kena pada tempat dan waktunya. Seni lontaran, gaya karauan dan halaju karaun gewang turut memainkan peranan meningkatkan sambaran.
Jangan terlalu banyak melontar secara blindcast kerana bimbang akan menakutkan ikan serta memberi impak terhadap minat ikan menerjah gewang.
Tetapi yang penting, kalau kita pergi trip memancing seboleh-bolehnya jangan hanya membawa satu gewang. Cuba bawa beberapa jenis dengan kombinasi dan warna berlainan.
Buat penilaian melalui pengalaman sendiri -cabang ilmu yang terbaik dari sumber yang kita boleh percayai 100%. Kalau cerita orang lain tentu lebih hebat dari apa yang sebenarnya berlaku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...