Pada asasnya, untuk kejayaan pancingan di sungai berarus, berbatu dan bertebing tinggi, ia bermula dengan setup peralatan pancing yang digunakan. Joran disarankan berukuran 6 kaki ke atas. Ia penting untuk berhadapan dengan tebing tinggi dan mengekang larian ikan ke reba atau celahan batu.
Kekili pula perlu gear ratio tinggi, terutamanya jika anda casting di sungai berarus deras. Sementara tali pancing sama ada tangsi atau sulam perlulah tahan lasak terhadap geseran. Selain itu drag kekili perlu diregangkan pada tahap sehingga melebihi 50% agar tidak memberi ruang kepada ikan untuk melepaskan diri.
Sebelum memancing sebaiknya anda selidik struktur sungai terlebih dahulu. Mengetahui keadaan lubuk amat penting bagi menghalang ikan menyelinap ke lokasi tersebut sekaligus menggagalkan kejayaan.
Apabila umpan mengena, pertama sekali anda perlu merasai tentangannya terlebih dahulu. Jika tentangan lemah, bolehlah dilayan seperti biasa. Jika tentangan kuat dan pantas, pastikan anda mengekang lariannya dengan meninggikan joran atau menambah sedikit tahap regangan drag.
Jangan hentikan secara mengejut dengan memegang spool. Kemudian ketahui hala tuju ikan tersebut. Sekiranya menuju ke arah reba, segeralah menukar arah renangannya dengan menyentap sedikit joran ke arah yang anda kehendaki ia pergi. Selamat mencuba!