SOALAN:
Dah agak lama saya guna tali pancing (braided dan tangsi) dan masih dalam keadaan ok. Sepatutnya berapa lama tempoh kita kena tukar tali-tali ni? 6 bulan sekali atau setahun sekali?
JAWAPAN:
Jangka hayat pada tali sulam atau tali tangsi bergantung kepada beberapa aspek. Pertamanya tentu sahaja cara penggunaan, kawasan padang pancing, cara penyimpanan, tempoh pengunaannya dan jenama tali tersebut turut sama memainkan peranannya.
Menurut pemerhatian saya, tali sulam atau tali tangsi tiada tamat tempoh selagi ia disimpan dengan kaedah yang betul. Contohnya saya masih menggunakan tali-tali tersebut yang sudah melebihi usia 10 tahun (berdasarkan tarikh pengeluaran tali tersebut) dan berfungsi dengan sempurna. Apa yang penting ialah mengetahui cara penjagaan serta cara mengesan masalah pada tali pancing yang perlu ditukar.
Sebaliknya jika kita kerap memancing (setiap minggu contohnya) dan kerap pula menarik ikan, walaupun ia masih kelihatan ok tetapi prestasinya sudah menurun. Terutamanya tali tangsi. Apabila ia kerap meregang ketika menarik ikan, tahap keanjalannya akan berkurang. Anda boleh memeriksa tahap anjalan tali tangsi ini dengan meregangkannya. Jika sudah kurang meregang maka eloklah ia ditukar.
Sementara tali braided pula anda perlu melihat keadaan permukaannya. Sekiranya terdapat kesan calar atau geseran maka eloklah ia dibuang bahagian hadapan dalam beberapa meter. Ia tidak perlu diganti baru terutamanya jika bahagian di dalam spool masih dalam keadaan sempurna.