Pengalaman yang saudara alami mengingatkan admin kepada peristiwa yang pernah dilalui. Bezanya admin memancing udang galah di kolam bukannya di laut. Cuaca pada malam itu cukup baik tiada hujan atau guruh dan petir. Cuma kebetulan pada malam itu merupakan sambutan Tahun Baru Cina dan meriah dengan dentuman mercun berdekatan kolam.
Kesan daripada bunyi bising dari mercun itu mengakibatkan admin dan pemancing pulang dengan tangan kosong.
Admin percaya, bunyi yang terlalu bising itu telah mempengaruhi rutin atau tabiat makan udang galah tersebut. Walaupun tiada fakta yang membuktikan ikan takut kepada bunyi yang kuat seperti guruh, namun kebanyakan tekong berpengalaman yang ditemui bersetuju kesan daripada cuaca yang kurang baik disulami pula dengan petir dan guruh yang menghasilkan gema di dalam air ini akan mempengaruhi tabiat ikan.
Kebanyakan trip memancing yang dilakukan pada waktu itu agak merudum. Ini kerana ikan menjadi pasif. Terutamanya di perairan cetek kurang daripada 100 kaki. Apabila anak-anak ikan atau ikan kecil tidak aktif mencari makanan secara tidak langsung ia turut mempengaruhi tabiat ikan-ikan pemangsa. Apabila ikan pemangsa tidak aktif dan tidak mahu buka mulut maka cerahlah peluang pemancing untuk kumpau.