Ikan kurau dan ikan senohong adalah spesies yang sama dengan nama saintifiknya Polynemus indicus. Sebagaimana ikan senangin dan sebarau, sebagai tanda `kebesaran’ apabila ia mencapai berat ke sesuatu tahap, ia akan mendapat nama lain yang lebih gah kedengarannya. Ikan kurau ialah spesies yang berskala 5 kilogram ke bawah manakala senohong melebihi 5 kg.
Kurau adalah ikan muara yang kuat melawan serta memiliki daya pecutan. Justeru, tali utama kekuatan minimum 20lb diperlukan.
Cara terbaik untuk memancingnya ialah menggunakan batu ladung yang kecil hanya sekadar memastikan umpan berada pada kedudukan dasar.
Guna perambut tangsi minimum 50lb diikat dengan mata kail 3/0. Tidak perlu perambut dawai kerana ia boleh menjejaskan persembahan umpan sekaligus kurau tidak mendekati umpan.
Kalau boleh perambut yang digunakan adalah jenis yang tahan calar dan hakisan. Kurau ikan bermulut besar. Jadi, mata kail dari 2/0 hingga 5/0 adalah prasyarat memancingnya.
Pasang umpan pilihan seperti ikan cabuk, udang hidup atau hirisan kembung di lubuk sasaran. Waktu kemuncak ialah 30 minit sebelum air pasang penuh dan satu jam selepasnya.