SOALAN:
Admin… boleh tolong bg tip cara untuk sangkut usus ayam pada mata kail dan ikan jenis apa yang sesuai untuk umpan ni?
JAWAPAN:
Usus atau perut ayam merupakan umpan memancing yang sudah diguna pakai sejak sekian lama untuk pancingan ikan air tawar. Sehingga sekarang pun masih ramai yang menggunakannya untuk memburu ikan air tawar tidak kiralah di sungai, tasik, lombong ataupun kolam.
Banyak cara yang boleh digunakan untuk memasang perut ayam ini pada mata kail. Sama ada dicangkuk terus pada mata kail dengan saiz yang kecil, atau cangkuk pada bahagian perut ayam dan dibiarkan berjuntai seolah-olah seperti seekor cacing.
Ada juga yang mencangkuk dan melilit perut ayam pada mata kail tapi cara ini menyebabkan perut ayam sangat mudah tertanggal bila ditarik ikan kecil.
Cara yang terbaik untuk memasang umpan perut ayam ialah dengan memasukkan mata pancing ke dalam perut ayam dan ikatkan hujung atau pangkal dengan tali perambut anda.
Cara pemasangan:
- Gunakan perambut yang agak panjang kira-kira 1kaki hingga 1 1/2 kaki.
- Potong perut ayam dengan panjang 1 jengkal.
- Masukkan mata pancing ke dalam perut ayam hingga ke hujung perut, tapi jangan melebihi panjang perut ayam.
- Ikat hujung bahagian atas perut ayam dengan tali perambut.
Cara ini terbukti lebih baik kerana tidak mudah tanggal bila dimakan ikan kecil dan juga ikan mudah mengena.
Biasanya umpan perut ayam ini digunakan untuk memancing ikan patin, keli dan pacu. Namun ia juga boleh digunakan untuk memancing ikan tengas dan juga udang galah.