Secara umumnya, ikan mampu melihat warna di dalam air. Malah, warna turut memainkan peranan tersendiri dalam dunia kehidupan ikan. Justeru itulah kita dapat melihat ikan yang memiliki pelbagai warna. Ikan jantan dan betina mempunyai kombinasi warna yang berlainan.
Namun ia bukan untuk dilihat manusia tetapi untuk memberi isyarat pada spesies yang sama waktu mengawan, waktu bertelur dan sebagainya.
Lazimnya warna juga dilihat mampu memberikan isyarat bahawa ketika ikan sedang marah, berlawan, takut dan sebagainya. Ini bermaksud hidupan di dalam air boleh melihat warna dan ada yang memberikan respon terhadap warna warna yang dihidangkan oleh pemancing termasuklah tali pancing.
Ia juga menjelaskan bahawa ikan boleh nampak warna pada gewang dan juga tali pancing yang digunakan oleh pemancing. Namun pada saya, soal ikan akan makan atau tidak pada umpan lantaran dapat melihat warna tali itu merupakan perkara yang berasingan.
Dan sudah pastinya ia tidak mengetahui tali berwarna di dalam air itulah adalah tali pancing yang digunakan oleh pemancing. Jadi tidak timbul langsung isu ikan tidak memakan umpan kerana mengetahui itu adalah tali pancing, apatah lagi mengetahui ada orang sedang memancingnya.