Teknik jigging kini semakin tempat di kalangan kaki pancing Malaysia. Ada pelbagai teknik yang sering digunakan seperti jig cast, slow pitch jigging dan micro jigging. Meskipun teknik ini biasanya diaplikasikan di atas bot, tetapi tahukah anda teknik seperti micro jigging boleh juga diaplikasikan di rumah rakit atau kelong.
Micro jig merupakan teknik yang menggunakan kepingan besi yang mempunyai renangan seperti ikan di dalam air. Kepingan besi itu biasanya bersaiz 3-30gram sebab itulah ia digelar micro jig.
Untuk mengaplikasikan teknik micro jig ini padanan joran dan kekili juga haruslah seimbang. Joran dari PE 0.6 hinggalah 1.0/1.5 dengan hujungnya yang sensitif adalah yang terbaik untuk digunakan. Kekili pula yang biasa digunakan ialah bersaiz 1000 – 2500 yang dipadankan dengan tali braided 6 – 10lb.
Untuk menggunakan teknik ini, pemancing harus tahu menggayakan micro jig anda. Saiz jig yang perlu digunakan haruslah bergantung kepada arus pada waktu itu. Jika arus agak laju, gunakanlah jig yang lebih berat dan begitulah sebaliknya.
Untuk teknik micro jig di rumah rakit / kelong, pemancing haruslah mengetahui kawasan yang berpotensi (karang atau tukun) untuk menurunkan jig anda. Caranya mudah saja, dengan hanya melepaskan jig hingga ke dasar, dan unjun jig tersebut beberapa kali (2-3 kali). Dan kemudian gulung sedikit dan mainkan kembali jig itu.
Selepas beberapa gulungan, jika tiada sambaran, lepaskan kembali jig itu ke dasar dan ulang semula permainan jig berkenaan. Jika kena pada tempat dan waktunya, pasti ada sambaran yang anda dapat.