Admin, kalau nak memancing ikan sasaran maka kita kenalah tau diet pemakanannya. Saya masih ingat ayah ni sebab admin ada pernah beri tip pasal ni. Masalahnya sekarang, saya tak tau ikan apa yang ada pantai tempat saya memancing di Sabak Bernam nanti. Jadi, umpan apa yang sesuai untuk saya guna?
JAWAPAN:
Ads
Tahniah kerana anda memahami konsep untuk berjaya dalam memancing. Sememangnya pengetahuan diet ikan sasaran adalah penting bagi penyediaan umpan yang tepat. Namun, apa yang lebih penting lagi sebelum penyediaan umpan adalah pengetahuan tentang spesies ikan sasaran. Hal ini perlulah diambil tahu dan terdapat banyak cara untuk mengetahuinya tanpa perlu bertanyakan kepada admin.
Ads
Admin pun pemancing biasa juga yang mana masih banyak lagi padang pancing belum diteroka termasuklah di Sabah Bernam. Walaupun pernah beberapa kali memancing di perairan Sabak Bernam termasuklah di sungai dan juga sawah padi, namun admin belum pernah cuba pancingan pantai. Begitu pun tidak terlalu sukar untuk buat jangkaan spesies yang mendiami pesisir pantai Sabak Bernam.
Ads
Sebagaimana kebanyakan pesisir pantai sebelah barat semenanjung, pantai berlumpur ini lazimnya didiami spesies seperti pari, ketuka, gelama, sembilang, duri dan juga belukang. Dan kesemua spesies yang disebutkan ini boleh dipancing dengan menggunakan umpan udang, umpun-umpun dan juga hirisan sotong atau ikan.
Dan ia merupakan umpan lazim yang digunakan. Oleh yang demikian anda boleh menggunakan umpan-umpan ini apabila berkunjung ke Sabak Bernam nanti.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya sebenarnya lebih berminat memancing ikan yang liar banyak terdapat di bekas lombong dan kolam ternakan terbiar berbanding ikan kolam berbayar. Biasanya banyak jenis juga ikan liar di bekas lombong tapi yang paling susah nak pancing ialah pacu. Jadi, boleh tak Team Umpan bagi sedikit tip terutamanya umpan yang sesuai untuk memancing ikan pacu.
JAWAPAN:
Ikan pacu adalah spesies omnivor atau maserba iaitu memiliki sifat memakan hampir apa saja makanan yang dijumpainya. Sama ada memancing di kolam terbiar, bekas lombong atau kolam pancing komersial, kebanyakan pemancing memilih teknik dasar berumpankan campuran dedak atau roti dadu berperisa.
Selain dedak dan roti, pacu juga jarang menolak umpan alami seperti cengkerik, cacing tanah mahu pun lipan. Turut dalam senarai umpan yang biasa digunapakai oleh pemancing ialah organ dalaman ayam seperti perut ataupun hati ayam.
Sekiranya anda penggemar teknik casting pula bolehlah cuba memikatnya dengan penggunaan gewang keras atau lembut (soft plastic). Gewang yang sesuai ialah jenis permukaan dan selaman sederhana bergantung kepada kedalaman padan pancing.
Sebaiknya juga gewang bersaiz kecil kerana pacu ialah ikan yang bermulut kecil. Seperkara lain, memancingkan pacu memiliki barisan gigi tajam, perambut kasar dan jenis sulam menjadi pilihan.
Betul ke ikan sembilang dan ikan gemang tu ikan yang sama? Atau lain-lain spesies? Boleh tak admin buat pencerahan sikit.
JAWAPAN:
Terdapat kekeliruan antara sembilang dan gemang namun berdasarkan buku rujukan ikan tempatan, sembilang dan gemang adalah spesies yang sama iaitu Plotosus canius Dalam kekeliruan ini ada yang mengatakan gemang adalah nama khas buat sembilang yang besar. Sebagaimana senangin menjadi gubal atau kurau membesar menjadi senohong.
Namun kenyataan ini disangkal sama sekali oleh pemancing yang arif tentang kedua-dua jenis ikan tersebut. Menurut mereka, sembilang dan gemang adalah spesies berlainan biarpun habitat dan tabiatnya serupa.
Bentuk fizikalnya memang sama tetapi jika diperhati dengan teliti, terdapat perbezaan jelas di antara kedua-duanya iaitu dari segi bentuk kepala dan warna.
Kepala gemang lebih besar dan leper termasuklah bukaan lebar mulutnya, tetapi sembilang berkepala kecil. Warna badan sembilang pula lebih gelap berbanding gemang.
Andaian ini sukar dibuktikan selagi kita tidak memperoleh sembilang dan gemang yang sama saiznya untuk dibuat perbandingan.
Sekiranya benar, kajian lebih mendalam harus dilaksanakan oleh para pengkaji ikan tanah air bagi mendedahkan siapa sebenarnya gemang.
Jika ingin casting atau trolling ikan toman, adakah perlu gewang disambungkan dengan perambut dawai sebagaimana teknik yang digunakan untuk memancing ikan bergigi tajam di laut?
JAWAPAN:
Memang tidak dinafikan penggunaan perambut dawai atau kabel adalah satu kemestian jika ingin memburu spesies bergigi tajam seperti tenggiri, alu-alu, toman atau pacu. Faktor utama kenapa perambut dawai ini digunakan kerana bimbang pemangsa-pemangsa bergigi tajam ini akan menelan umpan atau gewang hingga boleh memutuskan tali perambut.
Oleh yang demikian penggunaan perambut dawai adalah kemestian terutamanya bagi pancingan menggunakan umpan (termasuk pancingan dasar memancing toman menggunakan umpan keli). Ia juga perlu digunakan untuk casting dan trolling di laut kerana tidak pasti spesies apa yang bakal menyambar gewang tersebut.
Namun untuk tujuan casting atau trolling di air tawar walaupun untuk menyasarkan ikan toman, tidak perlulah menggunakan perambut dawai. Tidak salah jika ingin menggunakannya tetapi peratus untuk menerima strike lebih rendah berbanding tidak menggunakan perambut dawai. Ini kerana aksi renang gewang yang disambungkan dengan perambut dawai akan terjejas.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...