SOALAN:
Saya baru berjinak-jinak dengan pancingan di laut. Baru nak belajar membottom. Boleh tak admin buat senarai pendek umpan apa yang sesuai untuk memancing di laut dalam?
JAWAPAN:
Sebenarnya umpan untuk pancingan laut dalam ini agak meluas dan macam-macam jenis umpan boleh digunakan. Namun ada kalanya umpan-umpan tersebut boleh diklasifikasikan mengikut spesies ikan sasaran. Ada juga umpan yang universal bagi sekelompok jenis ikan.
Jenis umpan yang terbaik ialah untuk bekalan dari jenis umpan segar (ikan, udang, sotong) atau umpan hidup yang diperolehi dari hasil dipancing (menggunakan teknik appolo) ketika dalam perjalanan ke destinasi memancing atau di lokasi memancing itu sendiri. Sementara umpan hidup seperti udang dan udang lipan bolehlah dicari sebelum menaiki bot.
Manakala umpan segar boleh dibeli di pasar atau di jeti dari nelayan yang baru pulang dari menangkap ikan di laut. Harus diketahui juga bahawa umpan-umpan ini merupakan satu modul utama bagi menentukan kejayaan sesebuah misi pemancingan kerana faktor kesegaran akan menentukan keberkesanannya.
Antara jenis umpan yang dianggap universal di laut dalam ialah ikan selayang, pelaling, tongkol, ikan kembong, anak ikan alu-alu, cabuk dan sotong pasar. Dan pastikan jumlah umpan ini mencukupi untuk tempoh dan jumlah pemancing dalam sesuatu trip.
Menurut pengalaman pemancing yang sering mengikuti trip laut dalam, lazimnya dalam menyediakan umpan bagi sesuatu trip seperti berikut; jika 10 pemancing untuk trip 3 hari 2 malam sekurang-kurangnya sotong pasar perlu disediakan sejumlah 2 ke 3 kilogram seorang. Manakala umpan ikan kira-kira 2 kilogram seorang.