SOALAN:
Boleh tak admin Majalah Umpan terangkan teknik mancing dari atas kapal yang tingginya melebihi 5 meter. Dan joran apa yang sesuai untuk digunakan. Dan bagaimana untuk membawa ikan naik ke kapal dengan selamat. Terima kasih admin.
JAWAPAN:
Soalan ini mengingatkan saya pengalaman memancing di One Phantom Bank di mana ketinggiannya melebihi 5 meter. Oleh yang demikian teknik pancingan hampir sama saja dengan memancing di atas kapal yang tingginya 5 meter.
Joran yang sesuai digunakan sebaiknya joran panjang melebihi 8 kaki dengan aksi berat. Joran yang panjang member kelebihan apabila ikan yang dipancing bertindak berenang ke bawah kapal. Joran panjang mampu mengekang larian ikan berbanding joran yang lebih pendek.
Namun, penggunaan joran panjang perlulah juga disepadankan dengan pemilihan tali pancing yang betul. Sebaiknya gunalah tali tangsi atau mono berbanding tali sulam atau braided. Tali mono lebih tahan geseran berbanding tali sulam.
Perkara ini penting kerana kita perlu mengambil kira keadaan badan kapal di alam air yang lazimnya dipenuhi teritip tajam. Apabila ikan berenang ke bawah kapal dan dengan mudah tali sulam air putus apabila bergesel dengan badan kapal. Sebaliknya tali mono lebih tahan. Dan perlu juga guna tali mono berkuatan sekurang-kurangnya 30lb.
Setting peralatan begini juga membolehkan ikan yang dipancing dinaikkan ke kapal dengan selamat. Tetapi jika ikan yang diperoleh bersaiz besar, anda perlu menggunakan alat tambahan.
Biasanya saya menggunakan tali yang diikatkan mata tiga bersaiz besar yang berfungsi sebagai penyangkok. Ikan tersebut perlulah dilayan sehingga letih, kemudian barulah diturunkan tali bermata kail itu untuk menyangkoknya.