SOALAN:
Boleh tak bagi tips untuk memancing di perairan Selat Melaka terutamanya di Pulau Jarak menggunakan teknik jigging. Jig jenis apa yang sesuai?
JAWAPAN:
Untuk makluman anda, aktiviti memancing di perairan Pulau Jarak sebenarnya tidak banyak bezanya dengan aktiviti memancing di lokasi lain sepanjang perairan Selat Melaka. Sekiranya anda berhasrat untuk mempraktikkan teknik jigging, terdapat dua kaedah jigging yang popular dan lazim diaplikasikan di perairan Pulau Jarak ini.
Teknik jigging yang biasa diamalkan ketika ini di perairan Pulau Jarak ialah slow pitch jigging dan juga light jigging. Oleh yang demikian, sekiranya anda ingin mengadakan trip jigging di sini maka sebaiknya anda membawa kedua-dua kelengkapan peralatan untuk teknik jigging ini.
Manakala jig yang sesuai untuk digunakan pula bergantung kepada ikan sasaran, kedalaman air dan juga faktor arus semasa. Sekiranya ingin mencuba teknik slow jigging ketika arus lemah, jig berbentuk berbentuk lebar seperti badan sotong yang bersifat melayang di dalam air, dengan berat 120g hingga 200 gm lebih praktikal digunakan.
Sebaliknya jika arus agak laju maka jig berbentuk silinder dan panjang yang mampu membelah arus dengan baik, memiliki berat 200g hingga 350g adalah lebih praktikal. Lazimnya teknik jigging perlahan ini dilakukan bagi menjerat spesies demersal yang bernilai tinggi seperti jenahak dan kerapu.
Sementara bagi teknik light jigging pula ia lazimnya dipraktikkan apabila mensasarkan ikan-ikan pelagik seperti cencaru kuda, tongkol, talang ataupun tenggiri. Ia dilakukan apabila bertemu dengan kumpulan ikan pelagik atau memancing di kawasan karang air cetek yang dipercayai menjadi lubuk ikan-ikan pelagik. Jig-jig yang biasa digunakan pula memiliki warna asas keperakan dan berat antara 60g hingga 120gm.