SOALAN:
Masalah ini sering berlaku kat saya. Saya dapati kebanyakan ikan yang saya pancing jadi lemah dan macam nak mati selepas dinaikkan. Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengelakkan ikan yang dipancing cepat mati supaya dapat dilepaskan kembali?
JAWAPAN:
Sebenarnya agak sukar kepada saya untuk menjawab persoalan yang dikemukan dengan tepat kerana tidak menyatakan secara jelas jenis pancingan yang dipraktikkan. Begitu juga dengan spesies ikan yang dipancing dan ingin dilepaskan kembali atas konsep tangkap dan lepas.
Ini disebabkan tidak semua spesies ikan sesuai untuk konsep tangkap dan lepas. Terutamanya jika pancingan air masin yang mana kebanyakan spesies ikan demersal amat mudah mati selepas didaratkan. Begitu juga dengan kaedah pancingan yang dipraktikan.
Ini kerana teknik pancingan konservatif (menggunakan umpan) lebih mudah mendatangkan kecederaan (mudah mati) mati berbanding teknik pancingan mengilat yang menggunakan umpan tiruan.
Oleh yang demikian, berdasarkan soalan tuan, saya beranggapan mungkin anda memancing ikan toman atau sebarau dengan teknik mengilat menggunakan gewang. Saya beranggapan ikan yang pancing mudah selepas dinaikkan kerana ia kepenatan akibat bertarung habis-habisan dalam proses menyelamatkan nyawa.
Ada beberapa sebab kenapa ikan mudah mati selepas dinaikkan. Antaranya mungkin pertarungan berlangsung agak lama, sebaiknya cubalah daratkan ikan dengan sepantas yang mungkin. Mungkin juga peralatan pancing yang anda gunakan tidak sepadan dengan kekuatan ikan tersebut, sekaligus menyebabkan pertarungan tersebut menjadi lama.