Soal Jawab Mancing – Sejauh Mana Kekeruhan Air Mempengaruhi Hasil Mancing?

Share

 

SOALAN:

 

Saya atau admin sendiri pernah mengalami situasi di mana para tekong akan menyalahkan perubahan keadaan air yang menjadi keruh apabila sesebuah trip memancing itu gagal. Jadi, persoalan saya ialah… betul ke faktor perubahan air (dari keruh menjadi jernih atau dari jernih menjadi keruh) akan mempengaruhi tabiat ikan, sekaligus menjejaskan hasil tangkapan di sungai atau pun laut?

 

JAWAPAN:

 

Pada asasnya perubahan warna air tidak mempengaruhi sifat ikan dan hasil tangkapan secara total. Bagaimana pun sedikit sebanyak ia mempengaruhi beberapa jenis ikan serta cara kita memancingnya.

 

Sebagai contoh, jika ikan sasaran yang kita pancing ialah ikan sebarau dan tiba-tiba arus membawa air keruh ke kawasan kita memancing, maka sekiranya pada masa itu kita mengguna gewang yang berkilau, kilauan yang menjadi tarikan pada sebarau tidak dapat dilihat dengan baik oleh ikan tersebut disebabkan oleh air yang keruh.

 

Jadi kita perlulah menukar gewang ke gewang yang akan menarik perhatian ikan tersebut seperti gewang popper atau gewang yang mengeluarkan bunyi untuk menarik perhatian ikan tersebut.

 

Secara am sekiranya air bertukar menjadi keruh maka ikan bermisai atau catfish (seperti ikan baung, keli, sembilang) akan aktif di mana ia menggunakan deria tersebut untuk mencari makanan dengan menghidu makanan sebab deria penglihatan ikan sedikit terjejas disebabkan air keruh.

 

Sebenarnya, hasil tangkapan yang berkurang bukanlah disebabkan kekeruhan air, sebaliknya disebabkan penurunan suhu air. Disebabkan hujan atau perubahan cuaca (sama ada panas atau sejuk secara mengejut) ia akan mempengaruhi aktiviti ikan. Bila ikan menjadi tidak aktif secara tidak langsung ia tidak buka mulut atau mencari makanan.

Published by
Amang