Soal Jawab Mancing – Posisi Terbaik Joran Ketika Memancing Di Kolam?

Share

 

SOALAN:

 

Boleh tak admin bagi penerangan perihal kedudukan joransama ada menegak, mendatar atau sedikit mendongak selepas melontar umpan. Ada sesetengah pancing hujung pancing masuk sikit dalam air. Ada tanya juga pada pemancing tujuannya tetapi mereka pun sekadar ikutan sahaja.

 

JAWAPAN:

 

Berdasarkan penerangan saudara ini, saya mengandaikan ia adalah berkaitan pancingan kolam air tawar.

Apabila kita berkunjung atau memancing di kolam air tawar, kita akan dapat melihat pemancing meletakkan joran pada pancang dengan pelbagai kaedah. Ada yang meletakkan joran secara menegak, mendatar, mendongak dan juga menunduk hampir mencecah air kolam.

 

 

Pada pendapat saya tiada yang salah atau betul dalam perkara ini. Jika ada penerangan di sebaliknya mungkin berkaitan dengan teknik pancingan yang diamalkan atau bagi menyesuaikan keadaan dengan geografi kolam.

 

Sebagai contoh, jika kolam tersebut bertebing tinggi maka teknik menundukkan joran hingga mencecah lebih sesuai. Malah, dengan meletakkan joran menunduk ke air juga adalah lebih selamat dari terbang ke dalam kolam sekiranya pancing direntap kasar oleh ikan.

 

Ini kerana tarikan mengejut dari ikan boleh menyebabkan joran terlepas dari pancang jika diletakkan dalam keadaan mendatar atau mendongak.

 

 

Jika mempraktikkan teknik pancingan apung maka meletakkan joran dalam keadaan menegak adalah lebih praktikal. Dengan cara itu lebih mudah untuk melihat atau mengesan sebarang pergerakan tali pancing di permukaan air.

Published by
Amang