Soal Jawab Mancing – Pilihan Umpan Memancing Haruan?

Share

 

SOALAN:

 

Setahu saya, ikan haruan dipancing dengan menggunakan katak hidup dan juga gewang. Ada tak umpan lain yang boleh guna untuk memancing haruan selain katak hidup dan gewang ni?

 

JAWAPAN:

 

Memang tidak dinafikan haruan dipancing dengan dua kaedah umpan yang popular iaitu katak hidup dan gewang. Memancing ikan haruan biasanya memerlukan umpan hidup atau pun umpan tiruan yang digayakan. Selalunya memancing haruan sangat sinonim dengan umpan katak. Ini kerana sifat pemangsa ikan ini yang gemar membaham apa yang berani melintas di hadapannya.

 

 

Namun begitu, selain katak, anda boleh memancing haruan dengan menggunakan anak ikan puyu atau ikan sepat sebagai umpan dengan menggunakan teknik tajur. Pastikan umpan anda berada betul-betul di permukaan air untuk menghasilkan riak yang menarik perhatian haruan.

 

Jika ingin menggunakan umpan puyu dan sepat tetapi tidak mahu menggunakan tajur, anda juga boleh dengan kaedah memancing biasa. Anda boleh menggunakan kaedah pancingan berpelampung. Ambil apa saja barangan yang boleh dijadikan apungan untuk mengekal umpan hidup itu di kawasan permukaan air.

 

 

Ia lebih berkesan dengan teknik apungan ini kerana jika dipancing dasar kemungkinan umpan akan menyelinap di celah-celah kayu atau objek dasar hingga sukar untuk ditemui oleh haruan.

 

Selain itu anda juga boleh menggunakan umpan alami yang lain seperti cacing tanah, cengkerik dan juga cicak. Malah di sesetengah tempat, keberkesanan umpan cicak jauh lebih baik berbanding umpan katak hidup.

Published by
Amang