Perlukah saya menukar semua mata tiga dan split ring pada semua gewang yang dibeli, kerana saya diberitahu, ia tidak kuat terutama jika ingin memancing ikan toman, walaupun gewang tersebut berjenama?
JAWAPAN:
Ads
Sebenarnya saya sendiri ada pendapat pro dan kontra dalam perkara ini. Namun saudara boleh nilai sendiri sama ada ingin menukar atau mengekalkan mata kail dan split ring tersebut. Namun saya lebih beranggapan tidak perlulah saudara menukarkan mata tiga atau split ring tersebut kecuali peralatan tersebut terdapat masalah seperti berkarat atau sebagainya.
Ads
Banyak orang berpendapat bahawa mata kail akan lurus sekiranya dibaham ikan monster seperti toman, kelah atau sebarau. Saya sendiri pernah mengalami di mana mata kail saya diluruskan ikan tetapi ini hanya terjadi 1 kali dalam 100 kali. Itu pun n disebabkan kesalahan sendiri di mana drag setting saya terlalu keras.
Kesemua gewang yang berjenama telah bertungkus lumus membuat kajian pada mata kail yang bersesuaian untuk digunakan. Mata kail akan lurus apabila ia tersangkut pada kayu atau batu sebab ia tersangkut pada hujung matanya dan sekiranya ia tersangkut pada mulut ikan dan pegangan tekanan pada kail itu pada tengah lengkok kail ia tidak akan lurus.
Ads
Tentukan drag setting anda tidak terlalu keras dan saya percaya anda tidak perlu menghabiskan wang dengan menukarkan mata kail anda.
Sekiranya saudara ingin menukarnya, pastikan saiz dan berat mata kail tidak terlalu besar perbezaannya kerana ini akan mengganggu aksi pada gewang itu sendiri.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sebagaimana yang diketahui umum, terdapat banyak jenis dan bentuk mata kail. Apa yang ingin saya ketahui ialah bolehkah circle hook yang biasa digunakan memancing ikan pemangsa seperti mersuji dan layaran, digunakan untuk pancingan dasar atau pancing pantai?
JAWAPAN:
Pada asasnya mata lingkar atau circle hook direka cipta bagi kegunaan sukan memancing kerana ikan yang ditangkap akan dilepaskan kembali bersesuai dengan konsep tangkap dan lepas. Mata lingkar ini direka bagi mengelakkan kejadian ikan tertelan mata kail sekaligus boleh menyebabkan kecederaan organ dalaman sekaligus menyumbang kepada kematiannya. Sebaliknya jika tertelan sekali pun mata kail tersebut akan mereput dalam tempoh tertentu kerana ia dihasilkan dari material yang mesra alam.
Bentuk mata lingkar jelas berbeza dengan mata kail J atau J hook . Ia adalah sejenis mata kail di mana matanya berbentuk bulat ke belakang dan ia digunakan oleh kebanyakan pemancing sekarang untuk menangkap ikan. Oleh sebab bentuk matanya, ia selalu akan tercangkuk pada bibir di kawasan penjuru mulut ikan.
Sesuatu yang positif dari aspek keberhasilan mata kail ini, kajian telah mendapati bahawa penggunaan mata kail dari jenis ini telah menangkap lebih banyak ikan dari mata kail J. Terutamanya ikan yang memiliki bibir tebal.
Mata kail dari jenis ini boleh digunakan untuk semua jenis ikan di laut, lombong atau sungai. Walau bagaimana pun adalah amat penting sekali, pemancing jangan menyentap joran apabila ikan memakan umpan, tetapi cukup dengan hanya mengarau dengan perlahan supaya mata kail ini tidak tercabut atau lucut dari mulut ikan. Untuk pengetahuan, mata kail ini sedikit mahal dari mata kail jenis biasa.
Saya tertarik dengan gaya pancingan tenggiri di tuas yang menggunakan umpan ikan pelaling dengan teknik casting. Jadi saya mohon tunjuk ajar dari admin bagaimana hendak membuat umpan casting tersebut.
JAWAPAN:
Tidak dinafikan apabila hendak memancing spesies pemangsa bergigi tajam seperti tenggiri, penggunaan perambut dawai adalah kemestian bagi menjamin tenggiri tersebut berjaya ditewaskan. Bagi mengikat mata kail pada perambut dawai anda boleh rujuk di Portal UMPAN dalam segmen DIY.
Sementara untuk menentukan berapa jumlah mata kail yang perlu diikat pada perambut dawai pula bergantung kepada saiz umpan yang ingin digunakan. Sekiranya umpan kecil, satu mata kail sahaja sudah memadai. Namun saiz kebanyakan ikan umpan pelaling, sebaiknya guna 2 hingga 3 mata kail.
Sekiranya anda ingin melakukan teknik casting umpan ikan kembung maka sebaiknya gunalah perambut dawai tiga mata kail. Apa yang penting ialah pastikan jarak ketiga-tiga mata kail tidak boleh lebih panjang daripada umpan.
Panjang perambut dawai untuk casting tenggiri sebaiknya tidak terlalu panjang dan tidak pula terlalu pendek. Perambut yang terlalu panjang akan menyulitkan untuk melakukan casting dan akan merencatkan aksi renangan umpan. Sementara perambut yang terlalu pendek pula terdedah kepada risiko sambaran terkena pada tali utama dan putus.
Jadi, saya menyarankan maksimum perambut dawai tidak lebih dari sekaki panjang diikat bersama tiga bentuk mata kail saiz 3/0.
Saya ingin tahu teknik memancing di pesisir pantai yang mempunyai cerun dan berbatu karang di kawasan seperti Teluk Kemang dan sebagainya lagi.
JAWAPAN:
Saya mengandaikan soalan ini lebih merujuk kepada pancingan di atas bot berbanding pancingan pantai atau surfcasting.
Oleh yang demikian, saya berikan jawapan jika memancing menggunakan bot atau sampan.
Jika memancing di pantai yang mempunyai kawasan air bercerun, satu-satunya teknik yang paling efektif adalah dengan menghanyutkan umpan hidup dengan menggunakan belon.
Sasaran utama adalah ikan-ikan pelagik yang berlegak di kawasan cerun dan juga berbatu karang.
Selain itu boleh juga dengan teknik apollo di mana dengan kaedah ini, ia dapat menghindari mata kail tersangkut di karang.
Jika ingin memancing dengan kaedah pancingan dasar (berlabuh) di kawasan karang tinggi pastikan perambut halus diikat pada ladung supaya ia mudah putus apabila tersangkut.
Atau boleh juga batu ladung tersebut disambungkan dengan perambut hanya diikat dengan getah.
Jadi, mata kail dan ikan masih dapat diselamatkan apabila tersangkut. Satu lagi cara lain ialah perhatikan kawasan yang terang (jika air jernih) dan buat lontaran umpan di kawasan ini kerana terang menandakan tiada karang atau karang nipis.
Kalau gelap tempat itu tentu berkarang tinggi. Semoga jawapan ini menepati kehendak saudara.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...