SOALAN:
Saya masih berbelah bagi sama ada nak ikat kabel pada Pintail. Saya pernah dengar orang kata kalau pakai perambut kabel tenggiri boleh nampak dan tak akan sambar Pintail tu. Tapi kalau tak pakai perambut kabel, takut pulak Pintail tu lebuh kena cukai. Tau-tau sajalah harga Pintail seketul sekarang ni. Mohon admin bagi pencerahan sikit.
JAWAPAN:
Penggunaan perambut kabel atau dawai untuk memburu spesies bergigi tajam seperti tenggiri, alu-alu, toman atau pacu bukanlah satu kemestian. Sebaliknya ia lebih menjurus sebagai insuran saja. Faktor utama kenapa perambut dawai ini digunakan kerana bimbang pemangsa-pemangsa bergigi tajam ini akan menelan umpan atau gewang hingga boleh memutuskan tali perambut.
Oleh yang demikian penggunaan perambut dawai adalah kemestian terutamanya bagi pancingan menggunakan umpan alami ataupun umpan tiruan seperti pintail dan sebagainya lagi. Ia juga perlu digunakan untuk casting dan trolling di laut kerana tidak pasti spesies apa yang bakal menyambar gewang tersebut.
Tidak dinafikan juga perambut dawai lebih mudah dilihat berbanding leader fluorocarbon tetapi ia masih boleh diatasi dengan menggunakan perambut dawai yang lebih halus diameter. Saya mencadangkan perambut dawai berkuatan 40lb ke bawah. Perambut dawai juga tidak perlu panjang, memadai 10cm ke bawah.
Seperkara yang perlu anda ingat, Pintail biasanya dimainkan dengan karauan yang laju. Dengan karauan yang laju, saya tidak fikir tenggiri berkesempatan untuk melihat dan menilai perambut yang digunakan. Apa yang jelas kelihatan hanyalah aksi renangan pintail tersebut.