Boleh tak admin buat huraian perbezaan jika menggunakan nylon leader dengan fluorocarbon leader?
JAWAPAN:
Susah juga untuk menjawab persoalan ini kerana tidak dijelaskan bentuk perbezaan apakah yang diinginkan. Oleh yang demikian, saya jawab berdasarkan apa yang saya faham. Pada hemat saya, perambut yang dimaksudkan di sini ialah leader yang disambung bagi menghubungkan tali utama (tali sulam atau braided) dan bukannya perambut yang mengikat mata kail.
Ads
Ini kerana leader itu sendiri ada pelbagai jenis iaitu monofilament leader (perambut biasa), shock leader (perambut kejutan) dan floroucarbon leader. Selain material yang berbeza, kegunaannya juga berbeza-beza.
Terlebih dahulu kita perlu tahu apa kegunaan atau fungsi perambut tersebut. Penggunaan perambut atau leader bertujuan untuk menyerap regangan terutama jika menggunakan tali utama daripada jenis tali sulam.
Ads
Tanpa perambut ia akan memberi tekanan kuat pada mata kail, kekili dan joran yang boleh mengakibatkan kemusnahan. Sama ada mata kail akan melurus atau patah, joran akan patah atau gear kekili akan rosak.
Ads
Material perambut pula lazimnya terbahagi kepada beberapa kategori sama ada nylon atau polymer sepenuhnya, campuran nylon dan floroucarbon atau dan flourocarbon sepenuhnya. Berikutan bahan yang berbeza tentu saja sifat dan fungsinya juga berbeza. Paling ketara perbezaannya ialah perambut tangsi ini lembut dan fluorocarbon pula keras.
Kesan di dalam air pula, perambut tangsi yang didatangkan dengan pelbagai warna termasuklah berwarna jernih bersifat tampak manakala fluorocarbon pula lebih bersifat halimunan. Dari aspek aksi pula perambut tangsi lebih berbuai di dalam manakala flurocarbon lebih bersifat pegun.
Dan dari segi ketahanan pula, fluorocarbon ternyata lebih lasak menahan geseran dan tidak mudah kerinting atau hilang sifat regangan. Diharap penjelasan ini menepati soalan anda.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya seronok tengok pemancing dapat banyak ikan patipok. Saya sampai sekarang tak pernah merasa pun. Boleh tak admin berikan tip nak cari ikan ni atau teknik untuk memancing spesies ini?
JAWAPAN:
Pecah periuk atau siakap batu yang juga dipanggil patipok di kalangan kaki pancing sebenarnya agak mudah dipancing dengan syarat anda menjumpai lokasi spesies ini berada. Struktur ‘sampah hanyut’ di laut seperti kayu, papan, atau pokok nipah merupakan spot ikan ini berada dan biasanya dalam kumpulan.
Di Sarawak, pokok nipah ini digelar `apong’. Lantaran itu istilah pancingan apong menjadi sinonim dengan memancing ikan patipok.
Jika anda berjaya menemui lubuk ini, segera gunakan hirisan ikan, sotong, udang atau perumpun sebagai umpan dan campakkan berhampiran kawanan ikan ini tanpa batu ladung atau batu ladung kecil di bawah kelompok dan bersedia dengan tarikan kuat ikan ini. Anda juga boleh cuba menggunakan sesudu kecil atau mikro jig sebagai alternatif.
Saya pernah berhadapan dengan situasi di mana menemui kumpulan patipok yang banyak namun tiada umpan atau jig yang sesuai digunakan. Apa yang ada cuma assist hook dan kepala sotong getah. Dengan hanya menyangkuk sotong getah pada assist hook ia berjaya menaikkan patipok. Isi ikan patipok itu kemudian dihiris untuk dijadikan umpan memancing patipok yang lain pula.
Boleh tak admin jelaskan tujuan atau fungsi penggunaan ‘tanduk’ yang biasa digunakan oleh pemancing laut dalam?
JAWAPAN:
Tanduk atau spreader rigs merupakan salah satu alatan terminal yang digunakan khususnya untuk pancingan dasar atau bottom, lazimnya bagi sesi pancingan laut dalam.
Ini bermakna tanduk amat penting sebagai sebahagian daripada aksesori lengkap peralatan pancing dan semasa memancing.
Biasanya tanduk diperbuat dengan pelbagai jenis dan bentuk serta material. Ada tanduk yuang diperbuat daripada besi tahan karat atau stainless steel, ada yang menggunakan bahan pvc atau getah, dan ada diperbuat daripada tanduk kerbau air yang asli!
Tanduk berfungsi untuk menghalang tali perambut dan umpan daripada terbelit pada tali sulam atau biasa disebut dengan istilah panjat pokok.
Sekiranya kejadian panjat pokok ini berlaku ia akan menyebabkan kita umpama menunggu buah yang tak gugur kerana ikan buruan pastiknya tidak berminat kepada umpan yang terbelit pada tali.
Selain itu tanduk juga dapat menghalang batu ladung daripada jadi terkubur dan menjadi batu karang.
Ini kerana jika tersangkut pada karang, perambut mata kail sahaja yang putus. Batu ladung malah tanduk juga masih selamat sekiranya tali utama yang menyambungkan tanduk tidak putus.
Boleh tak admin beri perbezaan ketara antara ikan pari dengan ketuka? Kadang-kadang saya konfius kerana menyangka ikan ketuka ialah anak pari.
JAWAPAN:
Walaupun mengenal ikan boleh dikatakan perkara asas untuk memancing tetapi percayalah masih ada yang memerlukan penjelasan mengenai perbezaan spesies ikan yang ada di Malaysia.
Kita akan berbicara tentang perbezaan antara spesies pari dan ketuka memandangkan masih ada yang beranggapan bahawa ketuka itu ialah anak kepada ikan pari walaupun ia sebenarnya bukan.
Ada 2 perbezaan ketara yang boleh membezakan kedua-dua spesies ini iaitu saiz dan ekornya:
Ekor
Ini adalah perbezaan yang paling ketara untuk menentukan beza pari dan ketuka. Tidak seperti spesies pari yang berekor panjang (kecuali pari kelawar), ketuka hanya mempunyai ekor yang pendek sahaja, iaitu kira-kira sejengkal dari jari manusia. Namun harus diingat kedua-dua spesies ini mempunyai sengat yang sama di pangkal ekor. Oleh itu sentiasalah berwaspada ketika mengendalikannya.
Saiz
Umum tahu bahawa ikan pari mempunyai saiz yang besar berbanding ketuka. Ketuka sememangnya sejenis spesies yang tidak membesar seperti ikan pari. Menurut pengalaman peribadi penulis, ketuka yang paling besar pun sekitar 500 gram sahaja, tidak seperti pari yang mampu menjangkau saiz puluhan kilogram.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...