SOALAN:
Pening la… pening la nak pilih lure untuk casting sebarau ni. Macam-macam pendapat sampai tak tau nak pegang yang mana satu. Jadi, boleh tak admin buat sedikit huraian tentang pemilihan lure untuk sebarau berdasarkan kesesuaiannya di kawasan air dalam, air cetek serta kepelbagaian lokasi padang pancing?
JAWAPAN:
Asas utama menggewang ialah kita perlu mengenali spesies buruan. Sebarau yang diketahui mendiami sungai, empangan dan tasik boleh membesar sehingga 4 kilogram (satu saiz yang jarang sebarau dapat mencapai tahap ini kerana masalah tangkapan berlebihan). Saiz yang lumrah diperdaya dengan gewang adalah 500gm hingga 1.5kg.
Untuk sebarau 200gm hingga 500gm, cuba gewang kecil 5cm atau dipanggil gewang mikro tanpa mengira jenama.
Set pancing aksi ringan paling sesuai digunakan. Perhatikan struktur tempat ikan bermain. Kalau air cetek, guna gewang selaman cetek atau permukaan manakala air dalam guna gewang selaman dalam seperti jenis minnow.
Warna gewang turut memainkan peranan terutama warna yang seakan ikan sasaran. Warna oren mendominasi pilihan pemancing kerana ia seakan warna anak toman/haruan.
Sebarau memang pantang melihat anak toman. Justeru, warna gewang oren, merah atau emas mudah dan cepat disambar mangsa.
Bagaimanapun warna kekuningan turut menarik minat sebarau asalkan kena pada tempat dan waktunya. Seni lontaran, gaya karauan dan halaju karaun gewang turut memainkan peranan meningkatkan sambaran.
Jangan terlalu banyak melontar secara blind cast kerana bimbang akan menakutkan ikan serta memberi impak terhadap minat ikan menerjah gewang. Tetapi yang penting, kalau kita pergi trip memancing seboleh-bolehnya jangan hanya membawa satu gewang. Cuba bawa beberapa jenis dengan kombinasi dan warna berlainan.
Buat penilaian melalui pengalaman sendiri -cabang ilmu yang terbaik dari sumber yang kita boleh percaya 100%. Kalau cerita orang lain tentu lebih hebat dari apa yang sebenarnya berlaku.