SOALAN:
Saya tak biasa sangat mancing siakap liar kat muara. Saya biasa memancing siakap kolam guna umpan udang hidup dan udang kopek. Boleh tak kalau saya guna teknik yang sama kalau memancing siakap liar. Kalau boleh admin bagi tips sikit teknik-teknik nak pancing siakap liar.
JAWAPAN:
Sebenarnya tidak banyak beza pancingan siakap kolam dan siakap liar terutamanya dari aspek umpan. Udang hidup merupakan diet utama siakap. Malah cara casting udang hidup di kolam pancing pun sama sahaja di habitat liar. Penggunaan udang kopek juga boleh Cuma ia kurang efektif berbanding udang hidup.
Terdapat pelbagai teknik untuk memancing siakap di habitat liar. Selain casting, anda juga boleh cuba teknik berhanyut atau menghanyutkan udang atau belanak hidup dengan menggunakan pelampung. Kaedahnya juga tidak banyak beza dengan teknik apung di kolam pancing.
Selain itu anda juga boleh cuba teknik menunda atau trolling. Menunda menggunakan berbagai jenis gewang dengan berbagai jenis kedalaman dan warna. Anda hendaklah rajin dan yakin sebelum melakukan teknik menunda.
Bagi kedua kaedah ini anda boleh guna set joran berkekuatan 17-30lb. Kekili yang mempunyai kekuatan yang seimbang dengan set joran. Tali sulam berkekuatan 30-50lb yang sesuai dengan kekili dan joran.
Gunakan perambut fluorocarbon berkekuatan 30-40lb dan sambungkan dengan kabel sepanjang sejengkal berkekuatan 30lb sebagai perambut. Kabel dawai sebagai insuran sekiranya kawasan tersebut terdapat alu-alu.
Jika ingin casting atau menunda dengan menggunakan gewang, gunalah gewang berwarna seakan belanak dengan berbagai jenis kedalaman. Sekiranya gagal cuba gunakan gewang dengan warna yang berlainan.