Soal Jawab Mancing – Mohon Tip Paling Mantap Mancing Ikan Siakap Merah!

Share

 

SOALAN:

 

Saya sangat berharap agar admin dapat berikan tip bagaimana nak memancing ikan MJ (siakap merah) liar terutamanya di muara sungai?

 

JAWAPAN:

 

Lazimnya siakap merah atau mangrove jack (MJ) mendiami estuari sebelum bermigrasi ke laut lepas setelah mencapai usia matang. Namun peluang untuk memperoleh siakap merah dewasa juga ada apabila ia kembali ke muara untuk bertelur.

 

 

Walaupun juvenil, tentangan yang diberikan oleh siakap merah jauh lebih mendebarkan berbanding spesies penghuni muara lain. Justeru ia menjadi buruan utama di muara khususnya bagi penggemar teknik mengilat gewang atau lure casting.

 

Melalui kaedah pancingan dasar, siakap merah boleh dipancing dengan menggunakan umpan hidup ataupun mati. Umpan hidup yang paling sesuai adalah udang hidup atau ikan-ikan yang menjadi diet siakap merah di habitatnya.

 

 

Sementara umpan mati bolehlah juga menggunakan udang segar ataupun potongan ikan segar seperti belanak, tamban atau hirisan selayang. Teknik mengilat menggunakan gewang atau umpan tiruan (casting) merupakan kaedah pancingan paling popular dan digemari pemancing. Secara kasarnya kebanyakan gewang yang dipersembahkan kepada siakap merah dengan betul pasti akan dibahamnya.

 

Pilih gewang yang bersaiz lebih kecil daripada sasaran atau pun saiz diet ikan itu. Selain gewang, soft plastic boleh digunakan sebagai alternatif untuk gewang. Penggunaan umpan tiruan lebih berkesan jika dimainkan di kawasan berstruktur yang berpotensi.

 

 

Selain mengilat, gewang tiruan juga boleh digunakan menerusi teknik menunda atau trolling. Kaedah trolling dapat merentasi kawasan yang lebih luas berbanding mengilat dan gewang yang melalui betul-betul di atas struktur badan air ketika trolling paling berpotensi untuk menaikkan siakap merah.

 

Sementara teknik mengunjun jig atau jigging pula merupakan kaedah terbaharu dalam disiplin pancingan siakap merah. Teknik micro jigging (menggunakan jig mikro 5 gm hingga 20 gm) ini dikatakan paling berkesan untuk memperdaya siakap merah.

 

 

Berbanding teknik mengilat, gaya persembahannya sedikit berbeza begitu juga dengan spot untuk menggayakannya. Teknik micro jigging ini dilakukan secara unjunan menegak dan perlu dilakukan berhampiran spot berpotensi atau di alur aliran sungai.

Published by
Amang