SOALAN:
Saya nak join trip jigging laut dalam. Jadi, boleh tak beri sedikit tips kepada saya untuk memilih jenis dan warna jig khusus untuk perairan yang dalam.
JAWAPAN:
Jigging merupakan salah satu teknik yang cukup digemari oleh kaki pancing masa kini. Antara sebabnya ialah besi jig mudah untuk dibawa dan penggunaannya terbukti berkesan. Jig direka dengan kepelbagaian bentuk, aksi dan mempunyai tarikan warna yang memukau. Jig tidak diberikan sentuhan warna hanya untuk merambang mata pemancing untuk memilihnya.
Dewasa ini, pemancing gemar menggunakan teknik jigging kerana besi jig mempunyai daya ketahanan yang unggul selagi tidak lebur disebabkan perambut dipotong atau tersangkut. Tetapi, jika anda menggunakan besi jig, salah satu faktor kejayaan anda mungkin terletak pada pemilihan warna.
Perlu diingat warna pada badan jig berbeza di dalam air berdasarkan bagaimana penetrasi cahaya ke dalam air pada masa itu. Faktor warna jig memainkan peranan penting ketika unjunan untuk menarik perhatian ikan.
Pemilihan warna jig sangat kritikal bergantung kepada kedalaman air. Jadual ini mungkin membantu anda dan memberikan alternatif pilihan untuk memilih warna jig yang sesuai mengikut kedalaman kawasan pancingan anda.
Warna Kesan Optimum Untuk Kedalaman
MERAH (Red) – 0 – 30 kaki
JINGGA (Orange) – 0 – 45 kaki
KUNING (Yellow) – 0 – 60 kaki
HIJAU (Green) – 0 – 80 kaki
BIRU (Blue) – 0 – 100 kaki
UNGU (Purple) – 0 – 120 kaki
PERAK (Silver) – 0 – 120 kaki dan ke atas
BERCAHAYA (Luminous) – Waktu Malam Atau Lebih 120 kaki
Warna jig di atas berdasarkan penetrasi cahaya pada kedalaman tertentu. Namun tidak salah untuk kaki pancing memilih warna-warna berbeza dari warna berkenaan. Selalulah bertanyakan kepada yang arif dan juga tekong sebelum anda turun jigging.