Saya baru nak belajar casting. Boleh tak admin beritahu saya rod mana yang lebih sesuai untuk casting, rod pendek atau panjang?
JAWAPAN:
Ads
Setahu admin, sehingga kini belum ada satu standard bagi menetapkan saiz bagi mengkelasifikan sesuatu joran atau rod itu layak dipanggil joran pendek atau panjang. Namun untuk keselesaan memancing dan casting, secara umumnya joran yang lebih panjang dari ukuran ketinggian badan memancing dianggap lebih sesuai untuk digunakan. Sebagai contoh, jika kita memiliki ketinggian 5 kaki maka joran yang ideal ialah 5 kaki 6 inci.
Ads
Sebenarnya dalam teknik casting ini kedua-dua joran pendek dan panjang boleh digunakan. Apa yang membezakan dalam pemilihan joran pendek atau panjang tertaktuk kepada situasi dan lokasi. Sebagai contoh, sekiranya anda casting secara menebing atau landbase casting maka joran yang ideal ialah joran yang lebih panjang dari ketinggian anda. Joran sepanjang 6 hingga 7 kaki lebih pratikal untuk capaian lontaran gewang yang lebih jauh.
Ads
Sekiranya anda casting di atas sampan atau bot pula tidak perlulah menggunakan joran melebihi 6 kaki panjang. Terutamanya jika terpaksa casting sambil duduk. Joran yang panjang akan menyulitkan keadaan untuk menggayakan gewang khususnya gewang permukaan. Begitu juga casting di kawasan lubuk yang sempit di mana tidak perlu melontar gewang dalam jarak jauh.
Jika ingin dibuat rumusan, secara peribadi saya mengesyorkan anda memilih joran 6 kaki hingga 6 kaki 6 inci. Ia tidak terlalu panjang dan tidak juga terlalu pendek serta boleh digunakan di pelbagai lokasi dan situasi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Boleh tak admin bagi tip bagaimana nak hook up siakap dengan betul? Tertekan dibuat setiap kali strike siakap lepas tu mata kail boleh lucut pulak.
JAWAPAN:
Tidak dinafikan peratus kejayaan untuk mendaratkan siakap adalah ketika melakukan hook up. Hook up atau selakukan sentapan balas selepas ikan membuat larian adalah praktikal. Kebiasaannya pemancing akan membenarkan umpan digonggong siakap seketika, kemudian apabila tali pancing menegang menandakan umpan mungkin mula ditelan ikan.
Mata kail terlucut kebiasaannya berpunca daripada beberapa sebab. Pertama, saiz mata kail yang kurang sesuai. Kes di sini mata kail adalah kecil berbanding mulut ikan (siakap). Saiz dicadangkan adalah 3/0 atau 4/0.
Kedua, mata kail terlalu besar untuk mulut ikan. Kemungkinan kes ini adalah mustahil kerana saiz 2/0 memang muat untuk siakap sekecil 500 gram. Ketiga, mata kail kurang tajam. Mata kail tidak akan kekal tajam buat selama-lamanya. Kesan cucukan kepada umpan dan sebagainya boleh menyebabkan mata kail tumpul. Pastikan mata kail tajam setiap kali memancing.
Keempat, terlalu cepat merembat umpan kerana ikan mungkin hanya menggonggong ketika melarikan umpan. Bagi masa lama sedikit supaya umpan betul-betul berada sepenuhnya dalam mulut ikan.
Kelima, teknik pasang umpan. Jika cangkok di bahagian ekor kurang menjadi cuba pasang mata dekat bahagian kepala udang. Jika menggunakan isi ikan, pastikan mata kail menembusi kulit isi ikan yang kadangkala mata kail gagal menembusi kulit isi ikan berkeadaan apabila disambar siakap.
Saya sering memancing di kuala sungai atau muara dan saya selalu berdepan masalah dengan ikan buntal yang suka sangat memotong tali pancing saya. Saya tau memang itu kerja si buntal. Admin ada sebarang tip bagi mengelakkan ikan buntal memotong tali pancing? Saya dah rasa tekanan sangat dah ni.
JAWAPAN:
Jika disenaraikan musuh-musuh pemancing maka ikan buntal akan tersenarai sebagai musuh nombor satu pemancing. Bagaikan ada sumpahan antara pemancing dengan ikan buntal, gangguan ini tidak pernah terhenti sehingga kini.
Ikan buntal merupakan spesies ikan yang amat memeningkan kepala ramai pemancing termasuklah admin sendiri. Sehingga kini admin masih lagi mencari sebab utama kenapa si buntal ni suka sangat memotong tali pancing. Kelakuannya tak ubah seperti penguatkuasa di dalam air.
Admin masih tertanya-tanya adakah disebabkan oleh warna tali pancing, gerakannya di dalam air atau disebabkan bunyi yang dihasilkannya. Walau bagaimana pun hanya satu cara sahaja untuk mengelakkan ini berlaku iaitu dengan menggunakan tali pancing dari jenis tali sulam (braided).
Ketika saya memancing di kuala dan muara sungai sama ada memancing ikan atau udang galah, sememangnya kerap berlaku di mana tali pancing (tali tangsi atau mono) dipotong begitu sahaja tanpa sebab.
Namun apabila menggantikan tali tangsi dengan tali sulam, perkara tersebut tidak lagi berlaku. Jadi, anda dinasihatkan menggunakan tali sulam bagi mengatasi tekanan yang dialami itu.
Boleh tak admin beri penjelasan sedikit tentang coldbox untuk menyimpan ikan. Coldbox jenis mana yang lebih sesuai, sama ada berengsel atau penutup boleh cabut atau cerai. Berapa lama ketul ais boleh tahan dalam setiap kotak penyejuk dan jenis ais macam mana yang sesuai untuk menyimpan ikan?
JAWAPAN:
Padu betul soalan ni. Sebenarnya kedua-dua jenis coldbox yang disebutkan itu boleh digunakan asalkan ia memenuhi keperluan kita terutama jika dilihat dari sudut kos mampu milik.
Tetapi dari segi penggunaan coldbox yang mampu menahan ais daripada cepat cair adalah yang baik. Namun yang berengsel lebih elok kerana penutup boleh cerai mudah hilang atau melayang ditiup angin ketika atas bot.
Ais kalau benar-benar masak (dibekukan dalam tempoh yang cukup) boleh bertahan sehingga seminggu jika kekerapan buka-tutup coldbox adalah minimum dan tidak terdedah kepada persekitaran yang panas.
Ini berdasarkan pengalaman saya membawa seketul ais kiub sebesar 54 liter. Trip memancing selama lima hari di kawasan pedalaman hulu sungai. Sewaktu pulang baki ais yang beku berkurang kira-kira 20liter dan masih mencukupi untuk kami menyejukkan ikan untuk dibawa pulang ke ibu kota.
Bot nelayan pula mampu menyediakan bekalan ais yang cukup untuk dua minggu di laut dengan syarat disimpan dalam bekas yang kedap udara.
Terdapat empat jenis ais yang biasa digunakan iaitu jenis kuib besar, ais mesin atau kisar, ais kiub berongga serta ais tiruan (bahan kimia atau air disimpan dalam bekas tertutup). Paling sesuai ialah ais kisar kerana ia boleh menjimatkan ruang dan boleh dipadatkan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...