Soal Jawab Mancing – Mohon Senaraikan Gewang Yang Gerenti Strike Ikan!

Share

 

SOALAN:

Saya belum dapat keyakinan untuk memancing menggunakan umpan tiruan seperti gewang ikan atau udang. Boleh tak admin beri perangsang kepada saya?

 

JAWAPAN:

 

Terdapat beberapa faktor yang membuatkan ikan menyambar umpan tiruan seperti gewang. Pertamanya, oleh kerana ikan direka cipta tanpa anggota tangan dan kaki, maka ia menggunakan mulut atau anggota lain untuk menyambar, menyerang atau memeriksa gewang tersebut. Atau erti kata lainnya, ikan menyambar gewang bukanlah kerana satu sebab sahaja.

 

 

Antara faktornya ialah kerana lapar, sifat kewilayahan, tindakan pelindung, marah atau sifat cemburu. Tidak dinafikan kebanyakan ikan pemangsa menyambar gewang kerana menyangkakan gewang tersebut adalah makanannya. Oleh kerana itulah gewang direka cipta menyamai sifat-sifat ikan, udang, katak atau serangga lain yang menyerupai diet permakanan ikan pemangsa.

 

 

Faktor mempertahankan kawasan atau kewilayahan akan menyebabkan ikan bertindak dengan serangan sama ada dengan menggigit, memukul dengan kepala atau memukul ekor terhadap gewang. Justeru itu banyak terdapat kes gewang mengenai badan pemangsa dan bukan kesemuanya berada di dalam mulut.

 

 

Selain itu ikan pemangsa bertindak terhadap gewang kerana menyangka gewang tersebut adalah pemangsa yang akan memakan anak-anak jagaannya. Selebihnya adalah kerana sifat ingin tahu atau curiga. Dalam tindakan menyiasat dengan menggunakan mulut atau anggota badan yang lain itulah mata kail yang ada pada gewang menyebabkan statusnya sebagai pemangsa bertukar menjadi mangsa.

 

Published by
Amang