Soal Jawab Mancing – Mohon Penjelasan Maksud Sebenar Pemancing Rekreasi!

Share

 

SOALAN:

 

Saya ada terdengar tentang istilah pemancing rekreasi. Jadi, saya nak tanya kat admin la… pemancing rekreasi ni pemancing macam mana? Apa beza dengan memancing yang biasa dibuat oleh kaki pancing?

 

JAWAPAN:

 

Jika ditanya secara peribadi maka saya akan menjawab tiada apa-apa perbezaan pun antara pemancing rekreasi dan pemancing biasa kerana memancing itu sendiri adalah aktiviti rekreasi. Jadi secara logiknya tiada perbezaan antara keduanya. Pemancing rekreasi atau pemancing biasa kedua-duanya adalah pemancing yang berekreasi.

 

 

Walau bagaimana pun jika ingin dibuat pecahan istilah, dalam konteks perikanan pada dasarnya boleh dikategorikan kepada tiga iaitu; pemancing rekreasi, pemancing sara diri dan pemancing komersial.

 

Pemancing rekreasi ini lebih menjurus kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti memancing untuk mencapai kepuasan hobi secara individu. Kumpulan pemancing rekreasi ini pula biasanya juga digelar pemancing sukan (melakukan aktiviti sukan memancing) dan lebih dekat dengan konsep tangkap dan lepas, bag limit dan sebagainya.

 

 

Sementara pemancing sara diri pula ialah mereka yang melakukan aktiviti menangkap ikan atau hidupan marin sebagai makanan atau pendapatan keluarga. Sebagai contoh seseorang yang memancing udang galah dan menjual hasil tangkapannya. Begitu juga dengan nelayan kolam yang menyara hidup dengan menjual hasil tangkapannya.

 

Kumpulan pemancing komersial pula ialah mereka yang membuat aktiviti perikanan dalam skala besar untuk mendapatkan pendapatan yang besar seperti pengusaha kolam akuakultur, kolam pancing dan nelayan bot besar.

 

Published by
Amang