SOALAN:
Tumpang tanya sikit admin… saya akan join trip memancing dan camping di kawasan sungai dalam hutan. Jadi, boleh tak admin bagi sikit tip untuk memancing di kawasan begini berdasarkan pengalaman admin?
JAWAPAN:
Trip memancing dan berkhemah di sungai hutan pergunungan salah satu cabang memancing yang menyeronokkan. Malah, dalam kategori pancingan air tawar ia merupakan pancingan yang paling mencabar dan menyeronokkan tetapi tidak semua pemancing mampu mengaplikasikannya.
Namun, dalam keseronokan keselamatan diri jangan mudah terlupa. Pertama sekali pastikan langkah keselamatan diutamakan. Contohnya menggunakan kasut yang sesuai.
Bawa bekal ubat-ubatan, mesti ada guide atau pergi secara berkumpulan, tidak berkhemah terlalu dekat dengan gigi air. Pilih waktu yang sesuai untuk berkhemah dan patuhi pantang larang di dalam hutan.
Jika memancing pada waktu malam, pastikan anda mengurangkan penggunaan cahaya seperti lampu suluh atau unggun api di kawasan anda memancing.
Elakkan menggunakan loceng pada waktu malam pada hujung joran, sebaliknya gantikan dengan stik cahaya kerana ikan kawasan sungai pegunungan lebih sensitif dan sukar dipancing.
Untuk umpan, ia tidaklah sukar. Selain umpan sawit yang sangat sesuai untuk memancing kelah, anda juga boleh menggunakan umpan cacing dan juga hirisan isi ikan.
Saya juga gemar menyarankan wisel dibawa ke mana-mana kerana, jika tersesat, anda boleh gunakan ketika kecemasan.