SOALAN:
Boleh tak admin kongsi tip untuk menyusun tali masuk ke dalam spool kalau kita menggunakan baitcaster atau multiplier yang tiada line guide?
JAWAPAN:
Ada beberapa cara untuk menyusun tali masuk ke dalam spool dengan sempurna apabila menggunakan multiplier yang tidak memiliki penyusun tali atau level wind. Pertama, anda boleh menggunakan jari (ibu jari sahaja atau ibu jari dan jari telunjuk) untuk memacu tali memasuki spool ke bahagian kanan atau kiri.
Caranya ialah dengan menekan ibu jari (tangan yang memegang kekili) ke atas tali yang memasuki spool dan memacu ke arah mana yang dikehendaki. Atau boleh cuba dengan cara memegang bahagian bawah joran di depan kekili dengan ibu jari dan jari telunjuk digunakan untuk memacu tali bergerak masuk ke spool.
Selain itu anda juga boleh menyusun tali masuk dengan cara menyengetkan (memusingkan) kedudukan kekili yang dipegang ke arah kiri dan kanan ketika menggulung tali. Cara ini mungkin kurang kemas tetapi ia dapat mengatasi masalah kedudukan tali membusut di bahagian yang sama.
Namun kebanyakan multiplier inovasi baru sekarang ini dihasilkan dengan longkang spool yang lebih sempit tetapi dalam berbanding multiplier yang lebih lama, yang kebanyakannya saiz spool begitu lebar. Kekili multiplier terkini sebenarnya lebih senang untuk menyusun tali walaupun tanpa level wind atau bantuan jari.
Malah anda tidak perlu terlalu risau untuk menyusun tali dengan sempurna sebaliknya lebih mementingkan hasil tangkapan yang bakal didaratkan. Setelah hasil tangkapan berjaya didaratkan anda boleh melepaskan tali ke dalam air dan menggulungnya kembali untuk menyusun dengan lebih baik.