Soal Jawab Mancing – Kesan Perubahan Warna Air Terhadap Hasil Mancing?

Share

 

SOALAN:

 

Adakah situasi perubahan warna air di sesuatu lokasi boleh mempengaruhi hasil tangkapan memancing? Sebab ada yang kata… kalau air jernih baru menjadi. Tetapi ada pulak yang kata kalau air keruh baru menjadi. Pening la!

 

JAWAPAN:  

 

Warna air tidak mempengaruhi tangkapan ikan secara mutlak. Bagaimana pun sedikit sebanyak ia mempengaruhi beberapa jenis ikan serta cara kita memancingnya.

Misalnya, jika ikan sasaran yang kita pancing ialah ikan sebarau dan tiba-tiba arus membawa air keruh ke kawasan kita memancing, maka sekiranya pada masa itu kita mengguna gewang yang berkilau, kilauan yang menjadi tarikan pada sebarau tidak dapat dilihat dengan baik oleh ikan tersebut disebabkan oleh air yang keruh.

 

 

Jadi kita perlulah menukar gewang ke gewang yang akan menarik perhatian ikan tersebut seperti gewang popper atau gewang yang mengeluarkan bunyi untuk menarik perhatian ikan tersebut.

 

Biasanya, sekiranya air bertukar menjadi keruh maka ikan bermisai (seperti ikan baung, keli, sembilang) akan aktif di mana ia menggunakan sesungut untuk mencari makanan dengan menghidu makanan sebab deria penglihatan ikan sedikit terjejas disebabkan air keruh.

 

 

Sebenarnya, hasil tangkapan yang berkurang bukanlah disebabkan kekeruhan air, sebaliknya disebabkan penurunan suhu air. Disebabkan hujan atau perubahan cuaca (sama ada panas atau sejuk secara mengejut) ia akan mempengaruhi aktiviti ikan. Bila ikan menjadi tidak aktif secara tidak langsung ia tidak buka mulut atau mencari makanan.

Published by
Amang