Soal Jawab Mancing – Kenapa Ikan Tidak Aktif Pada Musim Monsun?

Share

 

SOALAN:

 

Apakah monsun atau musim tengkujuh juga merupakan faktor dan mempengaruhi tabiat ikan di perairan yang berhadapan musim ini. Sebabnya jarang kedengaran aktiviti memancing di laut pada musim monsun.

 

 

JAWAPAN:

 

Terdapat dua musim tengkujuh atau monsun utama di Malaysia iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya selain dua inter-monsun yang berlaku di antara dua monsun utama tadi. Monsun Timur Laut yang berlaku sekitar November–Januari merupakan monsun yang memberi kesan besarterutama industri nelayan dan memancing di Pantai Timur Semenanjung.

 

Monsun atau musim tengkujuh ini juga mempengaruhi spesies di perairan terbabit. Permulaan musim, spesies ikan daripada kumpulan mackerel (tenggiri, alu-alu), threadfin (senangin, kurau dan lain-lain) dan juga croaker (gelama) lebih banyak sementara grouper (kerapu) akan berkurang kerana akan bergerak lebih jauh ke tengah laut.

 

 

Waktu terbaik untuk memancing akan kembali sekitar April selepas inter-monsun. Waktu ini spesies grouper dan snapper akan kembali menghampiri ke kawasan pantai dan pemancing boleh menikmati aktiviti memancing sehingga Oktober.

 

Atau dalam erti kata lain, perubahan musim sedikit sebanyak turut merubah tabiat dan habitat ikan. Apabila habitat dan tabiat berubah, maka untuk memancingnya juga kita perlu berubah spot, taktik dan teknik pancingan.

 

 

Walaupun berubah habitat dan tabiat, ikan-ikan tersebut tidaklah bermigrasi atau berhijrah jauh dari habitat asal. Cuma, apabila ia berganjak lebih jauh ke tengah laut maka peluang untuk memancingnya tentulah sukar berikutan kesukaran untuk turun ke laut ekoran laut bergelora pada musim tengkujuh.

Published by
Amang