SOALAN:
Boleh tak admin cadangkan ikatan mata kail yang sesuai untuk pancingan ikan pelagik bersaiz besar dan menggunakan umpan hidup seperti memancing ikan dorado, layaran atau marlin. Terutamanya pancingan di perairan Kuala Rompin.
JAWAPAN:
Bagi pancingan ikan pelagik berstatus game fish seperti dorado, layaran atau marlin, anda boleh menggunakan ikatan mata kail seperti trilene knot, Rapala knot atau snell knot. Ikatan yang berbeza juga digunakan mengikut keadaan pancingan.
Semua ikatan ini membolehkan umpan ikan hidup bergerak atau berenang lebih bebas seperti tiada bebanan sekaligus mampu memanjangkan hayatnya sehingga disambar oleh ikan pemangsa. Ikatan jenis ini boleh digunakan di mana-mana perairan sekalipun.
Namun jika di Kuala Rompin, saya lebih gemar menggunakan ikatan Rapala knot pada mata kail ketika menggunakan teknik drifting belon. Seperti kita sedia maklum, ikan layaran di perairan ini adalah ikon kita dan wajib melepaskannya semula. Justeru penggunaan mata kail circle hook (mata lingkar) adalah diwajibkan, kerana ia mengurangkan kecederaan pada mulut ikan.
Namun peratusan strike menggunakan mata lingkar nyata lebih rendah berbanding penggunaan mata kail J (J hook). Oleh yang demikian sekiranya anda ingin menjerat ikan tenggiri maka adalah disarankan menggunakan J hook yang dilengkapi dengan perambut kabel.