SOALAN:
Saya baru nak belajar menggunakan gewang selaman dan saya berminat dengan jerkbait dan crankbait jenis floating. Tuan admin cadangkan gewang model apa boleh saya beli untuk air tawar? Apa bezanya crankbait jenis body panjang dengan jerkbait tuan, sebab saya nak nampak sama saja? Akhir sekali, kat tempat air jernih macam tasik yang ikan sombong dengan top water, mana lagi best jerkbait ke crankbait?
JAWAPAN:
Adalah tidak adil untuk saya menamakan model-model gewang tersebut. Sebagai panduan sebelum membelinya, tuan boleh merujuk kepada pemancing yang pernah menggunakannya.
Saya percaya semua gewang terutamanya yang berjenama besar telah diuji keberkesanannya. Lagipun, jika saya menamakan sesuatu model gewang dan tuan membeli tetapi hasilnya kumpau, ia boleh mendatangkan persepsi negatif pula.
Dalam istilah produksi, gewang crankbait adalah sinonim kepada gewang jerkbait. Justeru itu ia kelihatan hampir sama saja bentuk. Walau bagaimana pun, gewang crankbait lebih merujuk kepada gewang selaman dalam dengan memiliki lidah atau bip yang panjang.
Sementara gewang jerkbait kebanyakannya memiliki body panjang dan ada juga yang tidak memiliki lidah gewang. Dari segi penggayaan pula, gewang jerkbait perlu dikarau dengan aksi jerking untuk menghasilkan aksi renangan. Sementara gewang crankbait didatangkan dengan aksi renangan sedia ada dan hanya perlu dikarau perlahan atau pantas.
Bagi menghadapi ikan yang sombong dengan gewang topwater ketika faktor air yang jernih, selain menukar gewang crankbait atau jerkbait, warna dan aksi gewang juga perlu dimainkan dengan tepat.
Hakikatnya, untuk menjinakkan pemangsa ketika air jernih banyak perkara perlu diambil kira kerana pada ketika ini deria penglihatan ikan berada dalam keadaan terbaik untuk menilai setiap mangsa sebelum membahamnya.