SOALAN :
Saya pernah mendaratkan ikan yu pasir (yu bodoh) dalam anggaran 2 kg. Saya ingin melepaskan ikan tersebut, namun ada rakan saya mengatakan ikan berkenaan amat sedap dijadikan lauk. Persoalan saya benarkah ikan ini boleh dimakan? Jika ya, bagaimanakah cara untuk memotong ikan ini?
JAWAPAN:
Dalam dunia memancing ikan yu bukanlah spesies dambaan kaki pancing terutamanya spesies berskala kecil seperti yu bodoh atau yu bodoh. Ia lebih dianggap sebagai ikan pengacau umpan yang disediakan untuk spesies pemangsa gred tinggi.
Namun bagi spesies yu berskala besar, ia mampu menghadirkan perlawanan hebat kepada pemancing. Meskipun tidak ramai tetapi ada juga pemancing yang mengkhususkan buruan spesies ini disebabkan kekuatannya itu disebalik reputasi yang menggerunkan berkait dengan kekuatan rahang dan ketajaman giginya.
Semua jenis ikan yu boleh dimakan sekiranya kita mahu memakannya. Saya pernah menghadiri sebuah kenduri tidak dulu di mana sebuah keluarga menyediakan lauk pauk berasaskan ikan yu. Saya sempat melihat bagaimana ia diproses (siang) dan saya amat gemar kari ikan yu serta isi ikan yu yang digoreng dengan kunyit hidup.
Cara untuk memotongnya serta menguruskan daging ikan ini adalah untuk melapah kulitnya dari atas belakang ikan ini kerana ia tidak mempunyai sisik dan kulitnya amat kasar sekali. Selepas dilapah maka isinya boleh dikatam mengikut cita rasa.