Soal Jawab Mancing – Boleh Ke Anak Ikan Seriding Dijadikan Umpan?

Share

 

SOALAN:

 

Admin kenal tak ikan seriding? Ikan seriding ni banyak tersangkut pada mata apollo bila nak cari umpan ketika memancing di kelong. Kalau buat umpan, agak-agak ada tak ikan yang nak makan seriding ni?

 

JAWAPAN:

 

Ikan seriding atau cardinalfish, adalah sejenis ikan kecil yang tergolong di dalam keluarga Apogonidae. Ia senang ditemui di kawasan muka kuala dan pesisir pantai terutamanya kawasan berkarang. Ia turut mudah ditemui di persekitaran kelong pesisir pantai terutamanya ketika arus laju untuk berteduh dan berlindung dari pemangsa.

 

 

Ikan seriding dikenali memiliki sirip berduri yang tajam tetapi tidak berbisa. Sirip berduri itu merupakan antara asset yang ada sebagai senjata mempertahankan dirinya dari pemangsa. Ekoran dari sifat biologinya itu, kebanyakan pemancing beranggapan ikan seriding tidak sesuai dijadikan umpan untuk memancing ikan-ikan lain.

 

Tidak dinafikan ikan seriding agak kurang digunakan sebagai umpan bukanlah disebabkan tiada ikan yang mahu memakannya. Ikan seriding turut berada dalam rantaian makanan sebagai mangsa namun di kawasan yang banyak pilihan makanan, ikan seriding menduduki carta bawahan sebagai pilihan pemangsa.

 

 

Justeru itulah jika ikan seriding dijadikan umpan bersama umpan lain, joran yang menggunakan umpan seriding hampir sepenuhnya tiada sebarang getuan berlaku. Namun di kawasan yang agak terbatas pilihan makanan, ikan seriding dikatakan menjadi umpan popular untuk memancing ikan pemangsa seperti selangat.

 

Oleh yang demikian, sekiranya anda memancing di kawasan yang dipercayai hadirnya selangat, boleh anda cuba menggunakan umpan ikan seriding.

Published by
Amang