Soal Jawab Mancing – Bagaimana Nak Dapat Bawal Pinang Kolam Dengan Banyak??

Share

 

Ikan bawal pinang / emas (juga dikenali sebagai bawal kolam oleh kebanyakan kaki pancing kolam air masin) atau ikan pompano adalah spesies ikan air masin yang lasak. Ia berbentuk lebar seperti bawal biasa. Bahagian hujung ekornya berwarna kekuningan. Tetapi saiznya lebih besar dan purata ikan ini boleh membesar sehingga belasan kilogram.

 

Ikan bawal pinang lebih tertumpu di kawasan beting pasir dan sering bermain di permukaan dan pertengahan air. Untuk menjinakkan ikan ini, umpan paling lazim digunakan di habitat asalnya ialah udang hidup.

 

Di kolam pancing juga digunakan udang hidup terutamanya jika ingin menyasarkan spesimen bersaiz besar. Begitu umpan yang lazim digunakan ialah udang pasar sahaja. Begitu pun udang pasar perlu dikopek kulitnya atau dipanggil udang kopek.

 

 

Untuk lebih mudah lagi kerja boleh dapatkan terus udang kopek yang ada terjual di sesetengah pasar raya. Isi udang kopek perlu dipasang pada mata kail menggunakan teknik memancing apollo dengan kaedah apungan.

 

Dengan kaedah menggunakan pelampung, jarak mata kail dengan pelampung lebih kurang sedepa. Kebanyakan ikan ini bermain di kawasan pertengahan air di kolam air masin.

 

Kawasan tumpuan ikan ini di kolam berdekatan kincir air kerana ia menunggu makanan yang ditolak arus ke permukaan. Jadi umpan udang pemancing harus berada di kawasan sasaran ikan ini biasa berkumpul.

Published by
Amang