SOALAN:
Saya masih baru lagi dengan hobi memancing dan ingin tahu kenapa kaki pancing gila sangat dengan gewang, sedangkan bagi saya umpan hidup adalah umpan yang berkesan untuk memancing spesies predator. Lebih tak masuk akal ada gewang yang harganya langsung tak munasabah.
JAWAPAN:
Memang diakui penggunaan umpan hidup lebih berkesan kerana ia umpan betul untuk menjerat spesies predator seperti sebarau, baung besar, belida (anak ikan, udang), tenggiri (ikan kembung, tamban) toman (keli, ikan lampam).
Namun, harus diingat penggunaan umpan ada batasnya seperti umpan hidup sukar diperolehi, sukar dibawa ke mana-mana dan mudah mati. Berapa lama anda mampu mengusung dan menjaga umpan hidup sekiranya anda seorang kaki casting tegar yang memancing sehariannya.
Penggunaan gewang adalah revolusi oleh penciptanya yang memikirkan umpan tipu perlu dicipta kerana kaki pancing tidak sebolehnya terus bergantung pada umpan hidup. Mereka telah mengkaji dari segi bentuk, fleksibel renangan, bentuk dan sebagainya sehingga lahirnya pelbagai jenis bentuk, warna, jenama gewang ada di pasaran.
Secara amnya, penggunaan gewang lebih praktikal kerana ia memberi lebih kebebasan kerana tidak perlu membeli umpan hidup, segar, tidak perlu buang masa, cangkuk umpan hidup baru terutama semasa ikan sedang frenzy, tidak berbau, mengotorkan tangan anda, tidak perlu menyediakan bekas besar untuk simpan umpan hidup, boleh dibawa ke mana-mana sahaja serta memberikan lebih liputan kawasan ketika memancing berbanding umpan hidup yang perlu dikarau perlahan.