SOALAN:
Boleh ke tak kalau kita guna umpan yang biasa mancing di air tawar, kita guna untuk mancing kat laut (air masin). Contohnya macam cacing kita guna mancing kat laut. Saja je tanya… mana la tau kot-kot boleh.
JAWAPAN:
Terus terang saya katakan bahawa sehingga kini saya belum pernah lagi memancing di muara atau pantai menggunakan cacing tanah. Jadi, untuk memberikan jawapan secara tepat adalah diluar kemampuan saya.
Secara teori saya berpendapat, cacing tanah kurang sesuai untuk digunakan di perairan air masin. Saya melihat dari aspek cacing tidak mampu bertahan dengan tahap saliniti tinggi. Contoh paling hampir adalah air garam digunakan untuk mengeluarkan cacing dari dalam tanah.
Jika cacing tahan terhadap air garam, pasti ia tidak akan keluar dari tanah dan kemudian mati. Walau bagaimana pun cacing juga digunakan untuk memancing udang galah di kawasan air payau.
Ini menunjukkan pada tahap separuh masin dan separuh tawar sebegini, organ cacing kekal berfungsi sepenuhnya. Namun saya tidak pasti bagaimana keadaan organ dan tekstur badan cacing apabila berendam di dalam air masin. Yang pasti tempoh hayat tidak akan kekal lama.
Teori ini kekal sebagai teori sekiranya tidak dipraktikkan. Sebagai pemancing, tidak ada salah dan silapnya untuk mencuba. Saya percaya tiada siapa yang akan tertawakan anda kerana menggunakan umpan cacing untuk memancing di muara atau pantai.
Melainkan mereka yang pernah mencubanya dan sudah menimba pengalaman untuk tidak menggunakan lagi cacing tanah bagi pancingan air masin.