Memancing di perairan pelantar minyak boleh dianggap antara spot yang begitu mencabar. Perjalanan yang jauh dan memenatkan benar-benar menguji kekuatan fizikal dan metal. Tapi bagi yang berjiwa kental, di sinilah spot terbaik jika mahu merasai kudrat perlawanan menentang spesies monster!

 

Tidak dapat dinafikan perairan Terengganu dan Kelantan telah dilimpahi rahmat yang Maha Esa kerana dikurniakan sumber alam semula jadi iaitu gas dan petroleum. Tidak hairanlah jika kita dapat saksikan banyak pelantar minyak yang digelar ‘boreng’ berdiri megah bertaburan di Laut China Selatan.

 

Namun pemancing lebih tertarik dengan sumber kekayaan di dasarnya yang melimpah ruah. Bukannya minyak atau gas tetapi pelbagai spesies sasa dan berharga yang berkongsi hidup di sekitar api boreng (panggilan tempatan untuk nama pelantar minyak). Maka tidak hairanlah jika semua bot-bot tekong tersohor habis ditempah sejak setahun lalu.

 

Dari Kuala Besar, Tumpat hinggalah ke Kuala Besut, Kuala Terengganu dan Dungun bot-bot pancing laut dalam laris macam pisang goreng panas. Saya juga bernasib baik sempat membuat tempahan awal, jika tidak melepas lagilah peluang ke pelantar minyak.

 

Siri Jelajah Api Boreng (Siri 1/2)

 

Bagi penggemar popping dan jigging memang inilah lokasi bagi mereka melepaskan geram sekurang-kurangnya setahun sekali. Tekong dan awak-awak yang profesional sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pemancing-pemancing yang baru berjinak-jinak ke sana. Bagi otai-otai no problem cuma kelengkapan sahaja yang perlu diperkemaskan lagi.

 

Kekili yang dah longgar skru dan gear tu usah dibawa lagi nanti hancur dikerjakan gerepoh mega di sini. Trip kali ini kami ingin menjelajah kesemua pelantar minyak yang ada. Bermula dari Pelantar Puteri Dulang, Semangkok kemudiannya ke Bekok dan akhir sekali ke GT Triangle di ZEE hujung sana yang bersempadankan perairan Indonesia.

Ads

 

PANGGILAN PUTERI DULANG

 

Cuaca pada hari pertama kelihatan tenang sepanjang perjalanan. Sasaran kali ini tentulah gerepoh bagak di samping spesies mahal seperti ikan merah, kakap merah dan pelbagai spesies kerapu. Dalam perjalanan, kami sempat singgah di pelantar Puteri Dulang. Target kami di sini untuk melayan ikan pisang dan ebek. Bukannya sukar sangat nak pancing si rainbow runner ini.

 

Siri Jelajah Api Boreng (Siri 1/2)

 

Kita perlu hanya menghanyutkan umpan sotong segar dan biarkan terapung dibuai arus di belakang bot. Kalau boleh gunakan batu ladung kecil agar umpan sedikit tenggelam. Hulurkan umpan jauh ke belakang hingga rapat dengan pelantar Puteri Dulang ini. Memang banyak rainbow runner yang menyambar.

 

Ads

’Pesta pisang’ berjaya mengejutkan rakan-rakan yang masih dibuai mimpi. Ada yang tidak sabar lagi mencuba nasib setelah lama berehat di bilik tidur. Kasar-kasar betul saiznya kali ini hingga ada yang mencecah hampir 10 kg setiap ekor. Namun apa yang menarik apabila merah suman juga turut mengapungkan diri bermain di permukaan air. Banyak juga merah suman dikerjakan oleh Azman, Asri dan Wahab sepanjang petang dan waktu malam.

 

Siri Jelajah Api Boreng (Siri 1/2)

 

TENGGIRI SEMANGKOK

 

Keesokan paginya perjalanan diteruskan. Sampai sahaja di Pelantar Semangkok, awak-awak segera mengejutkan kami yang masih dibuai mimpi. Setelah beberapa jam di alun ombak akhirnya sampai juga ke destinasi pilihan. Tekong menjerit agar segera bersedia dengan set popping dan jigging. Dari jauh nampak kelibat spesies menyambar sedang galak mengejar anak-anak ikan di permukaan air.

 

Kalau tak tenggiri pun sudah tentu gerombolan gerepoh. Masing-masing menjerit dan keadaan tiba-tiba menjadi riuh rendah. Tekong segera merapati pelantar tersebut. Wajah jelas terasa bahang panas api boreng apabila bot semakin menghampirinya. Rakan-rakan yang sejak dua hari lalu memendam perasaan mula bersiap sedia dengan senjata masing-masing. Azman dan beberapa orang rakan lagi kaki popping segera ke hadapan bot untuk melancarkan serangan.

Ads

 

Siri Jelajah Api Boreng (Siri 1/2)

 

Masing-masing seolah-olah geram dicabar sang gerepoh yang semakin galak. Dalam ramai-ramai nasib Wahab dan Sobri lebih baik. Namun nasib kurang baik apabila banyak popper putus akibat gerepoh menyelinap ke tiang pelantar yang penuh siput teritip tajam. Sobri yang gemar berjigging mendapat satu sambaran. Rupa-rupanya jig yang di unjun disambar tenggiri. Pecutannya juga boleh tahan. Berdesup laju di permukaan air tanpa memberi amaran.

 

Pengalaman memancing di Yan, Kedah membuatkan kami lebih bersedia dengan kehadiran tenggiri cuma yang bimbangnya tiang pelantar yang selalunya menjadi penyelamat. Selain jig ada juga yang melontar popper dan juga casting bulu ayam dan ’kembung spinner’. Apa yang penting kita harus mencuba dan terus mencuba. Ternyata kehadiran tenggiri sedikit sebanyak menyelamatkan keadaan.

 

Siri Jelajah Api Boreng (Siri 1/2)

 

Malam itu cuma Asri berjaya menewaskan beberapa ekor tenggiri dan ikan bandang namun kelibat gerepoh masih gagal dikesan. Akibat kurangnya sambutan daripada ’target spesies’ ini kami mengambil keputusan terus ke pelantar seterusnya.

 

(Tulisan: Shamen Hashim)

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI