Boleh dikatakan semua ikan memiliki sisik sama ada di air tawar mahupun air masin. Dalam siri ini kami nak ketengahkan spesies ikan bersisik air masin gred tinggi yang menjadi buruan ramai pemancing serata negeri.
BAYAN / KETARAP
Nama Saintifik: Scarus rubroviolaceus
Nama umum: Ember parrotfish
Nama tempatan: Bayan, ketarap
Ikan bayan merupakan ikan yang mendiami kawasan batu karang serta pesisiran pantai yang berbatu. Habitat ikan ini merangkumi seluruh perairan Asia Pasifik. Ikan ini sangat terkenal dengan daya juang di kalangan kaki pancing walaupun bersaiz kecil telah menjadikannya sebagai sasaran kaki pancing.
Umpan: Ketam nipah ialah umpan paling popular untuk menjerat bayan ini. Selain itu, umpan seperti siput, kerang-kerangan, udang dan sotong juga boleh digunakan.
JENAHAK
Nama saintifik: Lutjanus johnii
Nama umum: John’s Snapper, golden snapper
Nama tempatan: Jenahak, Jenak, Unga
Dikenali sebagai bantal emas di kalangan pemancing. Jenahak merupakan ikan yang sangat popular di negara ini, termasuklah di kolam-kolam air masin. Ikan ini terdapat di semua perairan Asia Pasifik. Seperti ikan kakap merah, ikan jenahak juga mendiami kawasan berhampiran muara semasa kecil. Apabila dewasa, ikan ini akan mendiami lubang atau struktur karang yang berlumpur.
Umpan: Sotong, sotong kurita, udang lipan dan kembung/selar hidup merupakan umpan popular untuk menjerat ikan jenahak ini. Hirisan isi ikan dan sotong juga boleh digunakan.
KURAU
Nama Saintifik: Polydactylus macrochir
Nama umum: King Threadfin Salmon
Nama tempatan: Kurau / Senohong
Ikan kurau memang dikenali dengan isinya yang lazat serta harganya yang tinggi. Harga ikan ini akan melambung sekali ganda apabila di jadikan ikan masin. Kerana itulah ikan ini menjadi buruan kaki pancing. Ikan kurau yang tinggal di kawasan lubang berlumpur amat pandai mencuri umpan ketika pemancing terleka dan jika disentap kuat, pasti kita akan kehilangan umpan.
Umpan: Cabuk ataupun ikan timah merupakan umpan popular untuk menjerat ikan kurau. Selain itu, umpan sotong kurita, ikan belanak hidup dan udang hidup boleh digunakan.
SENANGIN
Nama saintifik: Eleutheronema tetradactylum
Nama umum: fourfinger threadfin, Indian salmon, blue threadfin
Nama tempatan: Senangin, gubal
Ia boleh ditemui di atas dasar berlumpur yang cetek di persisir pantai, sering hadir dalam kawanan yang kecil. Spesies dewasa dari spesies ini memasuki muara sungai ketika musim hujan. Spesies dewasa memakan udang, ikan, dan kadang-kadang polychaetes.
Senangin yang bernaung dalam keluarga Polynemidae ini mudah dikenali berikutan penampilan yang hampir sama pada penampilan keseluruhan badan, saiz mata dan filamen pada sirip pektoral. Sirip pektoral senangin terbahagi kepada dua seksyen.
Sirip bahagian atas lengkap dengan filamen, manakala di bahagian bawah terdapat 3 hingga 16 sirip tunggal tanpa filamen. Sirip ini berfungsi sebagai agen deria untuk mengesan makanan di dalam perairan yang berlumpur.
Umpan: Banyak dipancing dengan umpan udang hidup
IBU KERISI
Nama Saintifik: Pristipomoides multidens
Nama umum: Gold banded jobfish
Nama tempatan: Ibu kerisi, kerisi bali
Ikan yang mendiami lubang dan struktur karang di perairan negara kita ini sangat terkenal dengan isinya yang enak dan sukar diperolehi. Ikan ini yang bergerak secara berkumpulan dan bersikap tidak memilih umpan menyebabkan ia amat mudah diperolehi semasa trip memancing. Berbeza dengan ikan kerisi bersaiz kecil. Ikan ini merupakan hidangan lazat setanding dengan ikan gred A yang lain.
Umpan: Ibu kerisi tidak cerewet untuk memilih umpan. Teknik dasar menggunakan umpan hirisan sotong, udang mati atau hirisan isi ikan pasti dapat menjerat ikan ini.
KAKAP MERAH
Nama Saintifik : Lutjanus argentimaculatus
Nama umum : Mangrove jack
Nama tempatan : Kakap merah, tambong
Ikan kakap merah atau lebih dikenali sebagai MJ (Mangrove jack) di kalangan para pemancing. Ikan Kakap merah bersaiz juvenil kebiasaannya akan tinggal di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan.
Kemudian apabila telah matang, ikan ini akan berhijrah kelautan lepas. Waktu malam merupakan masa sesuai untuk memancing ikan ini kerana ikan ini amat aktif pada waktu malam untuk mencari makanan.
Umpan: Umpan sotong dan kembung hidup amat popular untuk menjerat ikan ini. Walaupun begitu, hirisan isi ikan dan umpan ikan hidup juga dikatakan efektif untuk dijadikan umpan.