Sila Semak Perkara Ini Sebelum Boating

Share

 

Tidak kira enjin sangkut berkuasa kecil atau besar tata cara panduan sebelum memulakan perjalanan bot perlu diambil kira. Ia berkait S.O.P (Standard Operating Procedure) dari aspek keselamatan dan juga aspek lain seperti penjimatan minyak, kelajuan kuasa kuda dan lain-lain lagi.

 

 

Perkara pertama yang perlu diperiksa adalah minyak untuk ke destinasi dan juga perjalanan pulang mencukupi dan perlu ada minyak tambahan sekiranya terjadi apa-apa di luar dugaan. Perlunya buat kira-kira jumlah liter minyak yang perlu dibawa mengikut kuasa kuda atau lokasi yang hendak ditujui.

 

Membawa lebihan minyak pula menjadikan bot melebihi muatan dan sekiranya kurang, risiko untuk kehabisan minyak boleh berlaku. Periksa apa jua berkaitan minyak seperti minyak hidraulik power steering dan juga bancuhan minyak pelincir bagi enjin 2 lejang.

 

 

Sentiasa periksa kipas propeller supaya bebas daripada halangan. Kadangkala propeller tersangkut tali yang boleh menjejaskan kuasa enjin. Apabila tali atau bendasing tidak dibuang ia akan menyebabkan kelajuan bot akan terjejas. Kadangkala tali kecil yang tersangkut tidak dapat dikesan semasa bot meluncur. Ia perlu di periksa dengan mengangkat enjin dan teliti di bahagian propeller.

 

Seterusnya, periksa pump penyejuk enjin dengan melihat pancutan air yang keluar dari bahagia dan blok enjin. Kegagalan sistem penyejuk enjin ini berfungsi dengan baik mampu menjadikan masalah enjin overheat dan boleh merosakkan bahagian piston.

 

 

Perlu diketahui, enjin telah direka dengan tahap kepanasan yang standard tetapi jika sistem penyejuk gagal berfungsi ia akan memberi kerosakan pada bahagian lain. Dua punca pam air tidak berfungsi dengan sama ada rubber impeller telah rosak atau pun salur air masuk atau keluar tersumbat dengan benda yang menyekat laluannya.

 

Periksa tapak pengikat enjin supaya kukuh. Ada kalanya kerosakan tapak pengikat enjin pada bahagian sampan tidak boleh dilihat dengan mata kasar namun ia masih boleh diperiksa dengan teliti seperti menggoyangkan enjin ke depan dan ke belakang.

 

 

Sentiasa perhatikan tiada kesan yang berlaku pada fiber atau kayu tapak enjin tersebut. Risiko enjin boleh tercabut dari sampan amat tinggi enjin mempunyai tekanan yang tinggi ketika meluncur dan impak perlanggaran dengan sebarang objek boleh mengundang bahaya.

 

 

Lain-lain keperluan yang wajib dibawa adalah lampu suluh, jika berhasrat balik lewat petang, lampu kecemasan, spanar palam pencucuh dan beberapa peralatan lain yang berkaitan serta jaket keselamatan adalah perkara wajib dibawa. Semuanya memainkan peranan apabila berlaku sesuatu di luar dugaan.

Published by
Amang