Saya bukan nak memandai jauh sekali nak kecam tapi nak berkongsi pendapat tentang udang galah. Sebenarnya saya tertarik dengan penjelasan admin Majalah Umpan dalam segmen Korang Tanya Umpan Jawab berkaitan dengan musim udang galah. Saya bersetuju dengan pendapat admin, cuma saya ingin buat sedikit input berdasarkan pengalaman sendiri memancing udang galah.
Berkenaan musim udang galah, saya ada teori sendiri berdasarkan pengamatan bertahun-tahun. Biasanya Tahun Baru Cina sering dijadikan penanda kepada musim udang galah. Sebabnya? Kalau dibandingkan dengan teori Majalah Umpan iaitu musim tiada hujan, persamaan di sini adalah musim panas.
Ads
Sebagaimana yang kita sedia maklum, Tahun Baru Cina biasanya disambut ketika iklim negara dalam musim panas. Secara semulajadi, udang galah aktif mencari makan ketika cuaca panas dan sebaliknya menjadi kurang aktif ketika air sejuk (musim hujan).
Ads
Bila udang aktif mencari makanan, baru la senang kita nak pancing. Kalau tak dapat banyak pun kita tidaklah kumpau nanti. Dalam erti kata lainnya atau kata kuncinya di sini adalah faktor suhu air. Sebelum turun memancing udang galah, kita perlulah ambil tahu tentang suhu air.
Ads
Berkenaan kewujudan udang galah di air tawar dan air payau, sebenarnya udang galah boleh hidup di air tawar namun perlu turun ke air payau untuk membiak. Sebab larva udang yang baru menetas hanya boleh survive dalam air payau. Setelah mencapai bentuk udang (pasca larva) ia akan kekal di kawasan air payau atau kembali ke air tawar sehingga ke hulu sungai.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sesuatu yang positif dalam industri perikanan rekreasi kini sudah ramai di kalangan pemancing tanah air kita mulai sedar tentang kepentingan memelihara populasi
ikan (ikan natif atau ikan asal bukannya ikan alien atau ikan pendatang) yang semakin berkurangan di negara kita dengan mempraktikkan kaedah TANGKAP DAN LEPAS atau CATCH AND RELEASE (CnR)
Malangnya tidak semua dari kalangan kita memahami teknik berkenaan dengan cara yang betul.
Adakalanya melepaskan ikan kelihatan seperti agak mudah iaitu dengan menanggalkan mata kail terus dari mulut ikan dan terus dilepaskan ke dalam air lalu ia berenang dengan bebasnya.
Malah ikan juga tidak menunggu kita untuk dirinya dibebaskan, sebaliknya ia akan meronta-ronta dengan meliang liuk untuk membebaskan dirinya.
Kita sering beranggapan, pertarungan terutama ikan game fishing memberikan suatu cabaran dan keseronokan tak terhingga kepada kita, tetapi tidak sebenarnya kepada ikan.
Ia bertarung untuk terus hidup. Oleh kerana separuh dari nyawanya telah hilang di dalam pertarungan.
Jika ikan tersebut kita pilih untuk konsep tangkap dan lepas (kecuali untuk tangkap dan makan), kita sebenarnya tidak boleh melepaskannya ke dalam air begitu sahaja sebelum dirawat dan dipulihkan terlebih dahulu.
Sekira kita membebaskannya serta merta, ikan tersebut akan berenang lemah secara terbalik atau mengiring.
Kemungkinan besar ikan tersebut menunggu masa menemui ajal. Alangkah sayangnya, jika ikan itu adalah ikan layaran atau toman besar.
Jadi beberapa panduan di bawah dari pelbagai sumber rujukan sama ada internet atau telah diterjemahkan dari rujukan luar negara diharap dapat memberi manfaat serta boleh dijadikan panduan dan pedoman kepada kita semua.
PEMILIHAN ALATTANGKAPAN
➡ Gunalah tali pancing yang telah diuji ketahanannya bagi membolehkan hasil tangkapan didaratkan dengan mudah dan dan dalam tempoh segera.
➡ Ikan yang dipancing dengan menggunakan fly atau lure lebih berpeluang tinggi untuk terus hidup berbanding penggunaan umpan hidup.
➡ Sesuaikan mata kail dengan saiz sesetengah spesies seperti ikan layaran, mata kail jenis circle hook perlu digunakan dan bukannya mata kail jenis biasa (J hook).
➡ Paling baik, patahkan duri pandan agar mata kail lebih mudah ditanggalkan dari mulut ikan (barbless).
➡ Sentiasa mendaratkan hasil tangkapan tanpa mengira saiz dengan menggunakan tangguk dan tangguk yang paling mesra ikan ialah tangguk berjaring tangsi atau plastik.
Untungnya jadi kaki pancing yang tinggal berdekatan muara. Saban masa dihabiskan memancing di sana. Walau ada masa beberapa sekali pun. Masih sempat untuk melabuhkan joran. Kalau yang tinggal di Lembah Kelang, kolam komersial menjadi tumpuan, memanjangkan lagi sengih taukeh kolam.
Mahu tidaknya, pelanggan datang bertambahlah kutipan harian. Di muara yang ditambak batu, tidak ada taukeh yang menanti untuk mengutip duit tol. Semuanya percuma. Yang perlu dibawa hanyalah peralatan memancing dan umpan.
Muara sungai yang mempunyai benteng pemecah ombak selain mengawal hakisan menjadi struktur konkrit terbaik sebagai tempat perlindungan ikan. Teritip yang melekat pada batu menjadi sumber makanan selain daripada sumber yang dihanyutkan dari sungai ketika air sedang menyongsong surut.
Kita jangan anggap ikan tidak ada di celah-celah batu kerana sebarang makanan yang melintas di hadapan akan disambar.
Peluang ini mestilah digunakan sebijaknya untuk mendapatkan ikan di muara. Tidak perlu mengangankan ikan saiz besar dengan membuat balingan jauh ke tengah, yang akhirnya musnah apabila tersangkut pada batu.
Praktikkan di kawasan beberapa kaki saja dari tempat anda duduk memegang joran kerana potensi yang ada tidak ramai yang sedar.
Di sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia, benteng pemecah ombak diwujudkan kerana masalah hakisan berlaku dengan teruk. Setiap hujung tahun, angin monsoon yang kuat beserta ombak besar sering menjadi malapetaka yang amat ditakuti.
Setiap kali bencana alam semulajadi ini datang, bentuk daratan sedikit sebanyak menerima kesan. Selain daripada kelebihannya mengawal hakisan, ia juga bertindak sebagai rumah ikan yang baru dan lebih selamat walaupun bahayanya tetap ada dari daratan.
Proses perubahan ala mini sebenarnya membuatkan manusia berfikir untuk mewujudkan bentang dan tanpa disedari, juga telah mewujudkan sarang ikan yang akan menjadi salah satu tempat tumpuan kaki pancing saban hari.
Kebiasaannya, spesies yang dicari di muara tentunya yang bersisik seperti siakap, siakap merah dan kerapu. Di pasaran, spesies ini mempunyai harga yang tinggi dan menjadi buruan kaki pancing muara. Pelbagai teknik pancingan digunakan seperti penggunaan gewang hinggalah kepada umpan semulajadi yang masih menjadi pilihan.
Ada yang tidak sedar, bongkah-bongkah batu yang dipijak ketika melabuhkan pancing menjadi sarang persembunyian terbaik bagi ikan-ikan kecil. Yang bersaiz besar menanti di ruang yang lebih terbuka, mencari peluang terbaik membuat serang hendap.
Kaki pancing lebih banyak yang memilih untuk membaling umpan jauh ke tengah dasar, mencari habuan bersaiz besar walaupun kadang-kadang keluarga ikan bermisai yang melahap umpan. Lebih parah lagi, mata kail yang digunakan sering tersangkut pada batu dan kaki pancing terkial-kial menarik tali bertujuan melepaskannya.
Cara ini lebih banyak membuang masa kerana selepas itu terpaksa membuat perambut baru dan bagi yang sudah membawa perambut spare, masa boleh dijimatkan. Tetapi, dapatkan kita bersabar dengan kerenah yang sering saja berlaku itu? Sekali nak periksa umpan, terpaksa menarik batu dahulu dan keadaan ini sebenarnya merimaskan.
Satu cara terbaik bagi saya ialah memancing tanpa menggunakan batu ladung dan membuat balingan yang jauh. Cukup sekadar apa yang berada di depan mata dan juga di celah-celah batu yang dipijak.
Di situ juga tidak mustahil untuk menemui spesies kegemaran kerana pemangsa yang sedang menanti makanan melintas di hadapannya. Kaku dan tidak bergerak di sebalik batu tanpa disedari.
Seperti teknik casting, kita perlu banyak membuat balingan dan gerakan dalam mencari kawasan yang berpotensi dapat menghasilkan ikan.
Cara memancing kawasan batu ialah sekadar menghulurkan umpan di celah-celah batu atau menghanyutkan saja umpan. Cara ini dirasakan lebih berkesan kerana umpan yang dihulurkan bertindak seperti makanan yang jatuh atau hanyut dan tersekat-sekat mengikut aliran air.
Pernah dengar istilah air bani? Saya percaya ramai di antara korang biasa dengar nelayan atau tekong menyebut istilah air bani. Tapi korang faham atau tidak apa yang dimaksudkan dengan air bani?
Air bani atau air mati ini dari segi istilah membawa maksud aras perbezaan air pasang dan surut yang tidak jauh ketara perbezaannya iaitu kebiasaannya aras perbezaan sekitar 1.5 hingga 2.5 meter (bergantung kepada lokasi).
Pada waktu ini kebiasannya arus tidak laju dan air laut juga biasanya menjadi sangat jernih kerana kurangnya gelodak yang terhasil akibat lumpur atau sampah sarap ketika arus laju.
Lazimnya air bani berlaku di dalam dua fasa pada setiap bulan. Fasa pertama ia akan berlaku pada 7 hingga 11 haribulan di dalam kalender Hijrah dan fasa kedua pula berlaku pada 20 hingga 24 haribulan Hijrah.
Memancing sewaktu Air Bani
Tidak banyak penerangan yang diperlukan untuk memancing sewaktu air bani ini. Ini kerana keadaan arus yang perlahan tidak memerlukan teknik-teknik yang khusus buat pemancing.
Apa yang penting sediakan sahaja umpan dan pergilah ke lubuk-lubuk yang berpotensi untuk menjerat ikan. Kebiasaannya, sewaktu air bani ini ikan-ikan bersisik seperti jenahak, kerapu, siakap, gerut-gerut dan senangin yang akan mendominasi hasil tangkapan.
Ini kerana pada waktu dan ketika arus bergerak perlahan, spesies-spesies ini akan lebih aktif keluar dari sarang atau lubang untuk mencari makanan. Waktu kemuncak untuk memancing sewaktu air bani ini ialah ketika pertukaran arus terjadi iaitu pada awal pagi dan lewat senja.
Namun begitu, adalah perlu untuk mengelakkan memancing sewaktu air betul-betul mati atau tiada arus sama sekali seperti air tenang di kolam atau tasik. Ini kerana, sewaktu arus mati, ikan biasanya menjadi pasif dan kurang berminat dengan umpan pemancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...