Sekiranya perlu memiliki peralatan khusus untuk eging seperti mana yang diamalkan di Jepun, pastinya sampai bila aktiviti eging ini tidak akan bertapak di negara kita.
Hanya untuk memiliki sebatang joran eging saja, saya sendiri pun berfikir sepuluh kali untuk memilikinya.
Tambahan pula dengan resam kebanyakan pemancing kita yang kalau boleh, hanya sebatang joran saja untuk semua jenis pancingan.
Pemilihan candat @ squid jig
Warna serta corak yang cantik pada pandangan kita belum tentu menjadi kesukaan dan menarik minat sotong mengabang.
Jika di sebelah Pantai Timur candat bintik, pink dan oren menjadi pilihan. Warna serta berat candat yang pelbagai perlu dibawa kerana lain tempat lain pula kesesuaiannya.
Warm jacket merupakan antara teknologi terkini dalam penghasilan candat. Jika sebelum ini kita hanya bergantung kepada cahaya luminous pada candat bagi memerangkap
sotong, kini badan candat yang bersuhu suam membuatkan candat seolah-olah umpan hidup sebenar dan sudah tentu ia lebih memperdaya sotong.
Walaupun tanda harga yang dilekatkan pada kotak candat ini membuatkan ‘kening terangkat’ namun berbaloi menggunakannya kerana kelebihannya ini.
Selain itu terdapat juga candat UV seperti Keimura Teknologi keluaran Shimano yang mana candat ini sangat efektif terutama untuk situasi gelap di dasar yang dalam.
Joran
Joran khas untuk casting sotong agak sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Sebagai alternatif joran PE 0.6 -1.2, sepanjang 6 hingga 7 kaki sudah dikira sesuai untuk
mengilat dari tebing. Saya sendiri menyukai joran sepanjang 8 kaki, aksi sederhana dengan kekuatan 6-12 lb. Untuk mencari joran ready made bagi spesifikasi begini memang
agak sulit. Cara mudah adalah dengan mencari blank kosong dah jadikannya rod custom.
Kekili
Walaupun ia adalah segmen casting, tetapi tidak bermakna anda perlu menggunakan baitcaster atau kekili menegak. Dalam dunia eging ternyata kekili mendatar lebih efisien kegunaannya walaupun di Jepun.
Kekili mendatar yang kecil bersaiz 500-1000 sudah memadai. Tidak perlu kekili siri 2000 ke atas kerana eging sotong mengabang tidaklah sama seperti memancing ikan. Kecuali jika eging dilakukan di atas bot di unjam-unjam.
Tali
Penggunaan tangsi lebih efektif berbanding tali sulam kerana ia mempunyai daya regangan. Tangsi hanya dimasukkan ke dalam spool kekili sehingga 80% ruangan spool.
Jika tangsi dimasukkan memenuhi spool, masalah sarang burung sering terjadi. Disaran menggunakan tali berkuatan 10lb-15lb dengan diameter 0.18mm – 0.20mm.
Pakaian
Dakwat hitam merupakan senjata bagi spesies sotong termasuk mengabang. Malah dakwat sotong mengabang lebih banyak berbanding sotong jarum. Perlu berhati-hati
mengendalikannya. Sebaik memperoleh mengabang, biarkan ia seketika di dalam air sehingga ia memancutkan dakwat hitamnya sehingga habis. Kalau terus menaikkannya
kebarangkalian muka dan pakaian anda akan di sembur adalah tinggi. Bila terkena pakaian bukan mudah untuk mencucinya.