Setting Lengkap Memancing Udang Galah

Share

 

Seperti memancing ikan, udang galah juga boleh dipancing dan memang ramai kaki pancing yang memfokuskan kepada pancingan udang galah sahaja disebabkan beberapa faktor.

 

Satu kepuasan, sekiranya udang galah yang berjaya dipancing itu berstatus sepit biru atau jenggo.

Ketika ini, jika setiap kali turun trip memancing, sekiranya berjaya memperoleh tangkapan lebih dari dua kilogram, ia sudah dianggap lumayan.

 

Jadi, jika sebelum ini anda tidak pernah mencuba memancing udang galah atau hanya ‘beli’ sahaja udang galah untuk keluarga anda, apa kata anda kena turun memancingnya kerana memancing udang galah tidaklah serumit mana pun.

 

Berikut beberapa panduan sebelum anda berhasrat mahu memancing spesies ini.

 

PERALATAN MEMANCING

 

1. JORAN

Cukup hanya menggunakan batang joran halus. Sebaiknya saiz yang disyorkan 4-5 kaki. Joran memancing udang harga ekonomi dijual antara RM10- RM20 sebatang.

 

 

2. KEKILI

Kekili bersaiz antara 500 hingga 1000 sudah memadai. Tidak perlu menggunakan kekili mahal, cukup yang berharga ekonomi.

Ada kalanya, sesetengah kekili dijual secara kombo dengan batang joran dan sudah dilengkapi dengan tali mono. Ia juga boleh digunakan untuk tempoh pendek.

 

 

3. TALI

Tali utama seeloknya antara 8 – 15 paun. Boleh gunakan tali mono atau sulam. Sesetengah tempat, tali sulam amat disyorkan kerana terdapat serangan buntal yang gemar memotong tali utama.

 

4. TALI PERAMBUT

Memadai dengan menggunakan tali tangsi berkekuatan tidak melebihi 15lb. Tali 6-10 lb adalah memadai.

Ini kerana, jika tersangkut, mata kail & tali perambut akan putus, tanpa mengorbankan batu ladung dan swivel. Tali perambut tidak perlu panjang, lebih kurang sejengkal sahaja.

Bagi pemburu udang galah tegar, mereka awal-awal lagi telah membuat banyak tali perambut di rumah.

 

5. MATA KAIL

Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut lokasi, jenis memancing dan juga saiz udang. Mata kail no 2 hingga 6 antara yang sesuai digunakan.

 

 

6. BATU LADUNG

Saiz batu ladung kebiasaannya antara no: 5 – 6. Saiz batu ladung yang kecil boleh digunakan ketika arus sungai bergerak perlahan.

 

7. SWIVEL

Ia amat perlu untuk menghubungkan tali utama dengan tali perambut.

 

8. BEKAS @ SANGKAR UDANG

Untuk menyimpan hasil tangkapan, bekas penyimpanan jenis dawai adalah disyorkan. Ada juga kaki pancing yang kreatif menggunakan tong sampah kecil yang diletakkan jaring di atasnya sebagai bekas menyimpan udang hidup.

 

 

LAIN-LAIN

Terdapat beberapa peralatan lain yang perlu anda sediakan. Antaranya kotak atau kecil mengisi peralatan-peralatan memancing, bekas /sangkar menyimpan udang, ketip kuku @

gunting (untuk kerja-kerja pemotongan tali), pisau lipat @ gunting (untuk memotong umpun-umpun), playar muncung panjang (untuk kemudahan membuka mata kail dari

mulut udang), parang, jaket keselamatan, baju lengan panjang, topi, krim pelindung matahari, bekalan air dan makanan secukupnya.

 

 

Published by
Amang