Pemandu pancing atau fishing guide ditafsirkan sebagai individu atau sesebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan atau bertanggungjawab membawa para pemancing untuk melunaskan hobinya.
Ia terbahagi kepada dua kategori. Pertama, orang perseorangan atau syarikat yang memiliki bot pancing untuk membawa kaki pancing ke laut, tasik atau sungai.
Kedua, berbentuk agen yang berperanan mengatur segala aktiviti yang bakal dijalankan, termasuk menempah bot, lokasi mana nak dipancing, menyediakan bekalan makanan, alatan berkhemah dan sebagainya yang menjadi permintaan pelanggan (biasanya trip pancingan air tawar).
Negara kita bolehlah dikira bagus dalam industri ini. Majoriti pemandu pancing yang memiliki bot sendiri boleh kita temyi di mana-mana jeti tidak kira di lautan, muara, tasik mahupun sungai (mereka dikenali sebagai tekong atau boatman). Namun kekurangan masih wujud bagi pemandu pancing yang arif tentang sungai belantara berbanding di laut.
Walaupun kedua-dua kategori tersebut begitu penting, namun kita harus akui bahawa servis sedemikian di Malaysia masih berada di tahap yang rendah dan seseorang pemandu pancing harus dititikberatkan.
Ini kerana mereka adalah sebahagian elemen penting yang mampu membentuk serta mempengaruhi ke manakah hala tuju industri memancing kita dari segi perkhidmatan atau panduan yang positif pada masa akan datang.
Pada era moden yang mementingkan kepakaran begini, saya rasa pemandu pancing tanah air kita masih jauh dari tahap yang dilabel – profesional.
Profesional dalam erti kata sebenar bukanlah dengan sekadar memiliki bot, peralatan memancing, servis atau khidmat teknikal sahaja, tetapi perlu mempunyai kesungguhan, iltizam dan dapat menjadi contoh dalam semua kegiatan memancing.
Telah ramai pemandu pancing profesional dan juga yang hampas yang pernah saya temui. Bagi yang profesional, mereka sentiasa peka dan mementingkan kualiti perkhidmatannya. Pelanggan dilayan seperti raja, misalnya sanggup memenuhi sebarang kehendak pelanggan serta ringan tulang membantu untuk memasang peralatan, menaikkan ikan dan sebagainya. Lazimnya mereka tidak akan turut serta memancing. Jikalau berkesempatan pun, ikan akan dihadiahkan kepada pelanggannya.
Selain itu, pemandu pancing profesional memiliki sifat cintakan alam semulajadi. Mereka tidak suka membuang sampah merata-rata, amat menggalakkan catch and release ikan yang kecil atau spesies yang tidak berharga dan sentiasa meminimumkan kecederaan tangkapan supaya pelanggan dapat bergambar sebelum ikan dilepaskan.
Malangnya, tidak ramai pemandu pancing kita yang layak digelar profesional. Ini boleh jadi juga disebabkan oleh sikap pelanggan sendiri yang kurang bekerjasama sehingga pemandu pancing terpaksa mengikut karenahnya.
Tetapi masih terdapat sebilangan pemandu pancing yang memegang prinsipnya. Mereka tegas berkata tidak kepada pelanggan yang degil. Ini secara tidak langsung akan membuatkan pelanggannya bertambah respect lalu kerap mengambilnya sebagai guide atau memperkenalkannya kepada orang lain.
Pemandu pancing adalah insan yang paling banyak berurusan dengan kaki pancing. Mereka juga sering bertemu dengan orang yang baru berkecimpung dengan dunia hanyir ini. Oleh itu, segala tingkah laku dan sikapnya akan dinilai dan mungkin diikuti oleh pelanggannya.
Jika tidak profesional, itulah antara sebab wujud dan tersemainya norma-norma negatif dalam diri sebilangan pemancing yang tidak menghormati alam.
Stok ikan di bumi adalah faktor utama yang mempengaruhi industri memancing dan aktiviti-aktiviti berkaitan. Sebagai seorang pemandu pancing, mereka juga harus bertanggungjawab menguruskan bekalan semulajadi ini dengan sebaik-baiknya.
Stok ikan adalah punca rezeki mereka, maka mereka hendaklah mendokong pemuliharaan dan tidak hanya menuding kepada golongan nelayan sahaja.