Sesi Menunggu Ikan Kuku Atas Batu

Share

 

Tidak lengkap ilmu pancingan anda sekiranya sekadar menumpukan pada sesuatu aspek pancingan sahaja.

Walaupun ikan kuku bukanlah spesies popular yang diburu ramai pemancing, namun ia merupakan salah satu cabang pancingan yang ada pengikut dan teknik tersendiri.

Bagi memahami skop pancingan ini saya ke Kuala Pahang, Pekan menyertai ‘komplot nguku’ bersama tim Bream Fishing Malaysia yang diterajui oleh saudara Rosdi.

 

Pelajaran pertama yang saya pelajari adalah kemahiran imbangan badan berikutan lokasi pancingan adalah di atas batu-batu pemecah dan penahan hakisan ombak di muka kuala.

Pelajaran seterusnya adalah mengenali spot untuk melabuhkan umpan apabila pantai berbatu itu nanti akan ditenggelami air pasang.

Dan pelajaran terakhir yang paling mudah tetapi paling sukar untuk dilaksanakan, bersabar. Sabar menanti umpan diragut ikan dan sabar menahan peritnya sinar matahri tegak di atas kepala.

 

Menggunakan umpan resepi tersendiri oleh Rosdi, pancingan ikan kuku sebenarnya tidaklah terlalu taktikal dan sulit untuk dipratik.

Apa yang sulit sebenarnya ialah setelah ikan memakan umpan dan bertindak balas apabila mata kail tertancap pada mata kail.

Memandangkan spot pancingan adalah kawasan berbatu, pemancing haruslah tangkas bertindak balas dan bijak mengendalikan ikan daripada memutuskan tali pancing dengan menggeselkannya pada batu-batu tajam.

Sebarang kelekaan pasti akan berputih mata. Jika tali pancing tidak putus pula, batu ladung yang digunakan turut berpeluang tersangkut dicelahan batu sehingga menyebabkan ikan berjaya meloloskan diri.

Dan kejadian yang lebih berpihak kepada ikan ternyata banyak kali berlaku walaupun joran dikendalikan ahli ‘komplot nguku’ yang berpengalaman.

 

Walaupun dalam komplot ini saya gagal secara mutlak untuk merasai keseronokan melayan tarikan spesies Pasific seabream ini, namun ahli-ahli lain tetap juga berjaya mendaratkan beberapa ekor spesies dengan skala saiz yang agak memberangsangkan.

Sekurang-kurangnya saya berjaya juga menyentuh dan bergambar kenangan dengan spesies yang belum pernah saya pancing sebelum ini.

Setelah lebih setengah hari berpanas ngail ikan kuku di atas batu bersama sembilan orang ahli tim Bream Fishing Malaysia yang akrab dan mesra, kami berjaya juga membawa pulang beberapa ekor kuku, tamok dan siakap merah yang turut mencari makan di habitat ikan kuku.

Published by
amirulazhar